PETALING JAYA, 28 NOV: Seramai 4,776 peniaga mikro mendapat manfaat dari kursus pembangunan usahawan yang dianjurkan oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sejak 2022.
Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Zahri Samingon berkata kursus memberi aspek penekanan terhadap pemasaran digital, pengurusan kewangan dan bimbingan secara “one-to-one” coaching.
“Selain itu, peserta diberi bimbingan terhadap penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI), kejuruteraan menu dan pematuhan syarat perlesenan.
“Kursus ini memberikan impak yang signifikan terhadap peningkatan pengetahuan dalam pendigitalan, hasil jualan, tambah baik kualiti produk dan pengurusan kewangan yang cekap,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada Majlis Anugerah Usahawan Berpontensi Petaling Jaya 2024 yang dirasmikan EXCO Usahawan Mohd Najwan Halimi di Dewan Banquet, MBPJ, di sini hari ini.
Selain itu, Mohamad Zahri memaklumkan anugerah usahawan berpontensi yang dianjur MBPJ bertujuan bagi mengiktiraf pencapaian para peniaga setempat di kawasan pentadbirannya.
Menurutnya lagi, sebanyak empat anugerah disampaikan iaitu Anugerah Ikon Digital, Anugerah Pelan Perancangan Perniagaan Terbaik, Anugerah Pengurusan Kewangan Terbaik dan Anugerah Usahawan Berpontensi Petaling Jaya 2024 (10 pemenang).
“Setiap penerima anugerah mendapat sijil dan wang tunai sebanyak RM300 manakala pemenang anugerah usahawan berpontensi menerima tiket lawatan sambil belajar ke Bandar Ho Chi Minh, Vietnam.
“Lawatan peserta melibatkan beberapa lokasi perindustrian selain menyertai Ho Chi Minh City International Exhibition Food & Beverages,” katanya lagi