SHAH ALAM, 28 NOV: Kerajaan Negeri merancang lebih banyak program bersifat keilmuan dan keagamaan tahun hadapan bagi menangkis pengaruh buruk media sosial yang semakin berleluasa.
EXCO Agama Islam Dr Fahmi Ngah berkata sebanyak RM500,000 disediakan bagi penganjuran program membabitkan setiap lapisan masyarakat bermula daripada wakil rakyat, termasuk pembangkang.
“Kita akan kembang dan dalamkan lagi subjek wacana tahun depan kepada setiap lapisan masyarakat bermula dengan wakil rakyat diikuti imam serta nazir di kampung-kampung.
[caption id="attachment_675319" align="alignleft" width="447"] EXCO Agama Islam Dr Fahmi Ngah berucap dalam perasmian Seminar Kesedaran Perundangan Islam di Malaysia di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), Shah Alam pada 28 November 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
“Dana sudah ada iaitu RM500,000 untuk setahun. Kita akan susun program. Sebagai contoh kita akan teruskan program kembara masjid Selangor yang juga ada kenduri rakyat,” katanya kepada pemberita.
Beliau ditemui pada seminar kesedaran perundangan Islam di Malaysia di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini, hari ini, yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Agama Islam (Jais) Datuk Shahzihan Ahmad.
Seminar sulung anjuran Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor menampilkan tema Islam dalam perlembagaan dan cabaran Islam sebagai agama Persekutuan.
Tiga ilmuwan dijemput sebagai pembentang iaitu Ketua Pusat Penyelidikan Manuskrip Alam Melayu, Institut Alam dan Tamadun Melayu di Universiti Kebangsaan Malaysia Dr Ros Mahwati Ahmad Zakaria.
Dua lagi ialah Pensyarah Kanan Universiti Islam Antarabangsa Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Hashim dan Pensyarah Fakulti Syariah Dan Undang-Undang di Universiti Islam Selangor Dr Azizah Mat Rashid.