ad
AGENDA

Isu FashionValet: SPRM selesai siasat, keputusan lanjut dalam masa terdekat

28 Nov 2024, 9:59 AM
Isu FashionValet: SPRM selesai siasat, keputusan lanjut dalam masa terdekat

PUTRAJAYA, 28 NOV: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah melengkapkan kertas siasatan berhubung pelaburan beberapa entiti kerajaan dalam syarikat pengendali platform e-dagang FashionValet Sdn Bhd (FashionValet).

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata kertas siasatan itu, telah diserahkan kepada Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM untuk kajian dan pertimbangan.

“Keputusan berhubung siasatan ini akan diperoleh dalam masa yang terdekat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan Khazanah Nasional Bhd (Khazanah), untuk melakukan audit dalaman bagi menyiasat kerugian pelaburan bernilai RM43.9 juta dalam FashionValet Sdn Bhd (FashionValet).

Anwar yang juga Pengerusi Khazanah berkata arahan tegas itu, sebagai memaknai pengumuman beliau sebelum ini yang mengarahkan Jabatan Audit Negara melakukan pengauditan terhadap 2,000 syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Pada 2018, Khazanah dan PNB telah melabur masing-masing RM27 juta dan RM20 juta untuk pegangan minoriti masing-masing dalam FashionValet.

Azam sebelum ini berkata SPRM telah membuka kertas siasatan berhubung kerugian pelaburan berkenaan serta memberi jaminan siasatan akan dijalankan secara adil dan profesional.

-BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.