SHAH ALAM, 28 NOV: Kerajaan Selangor menyediakan program rehabilitasi kepada bekas GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) selaras keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN), kata EXCO agama.
Dr Fahmi Ngah berkata setakat ini hanya 15 bekas ahli GISBH telah mendaftarkan diri secara sukarela dalam program berkenaan di Selangor, sejak dibuka bulan lalu.
“Setakat ini hanya ada 15 orang sahaja yang masuk secara sukarela. Sebenarnya kita ada dua jenis, yang pertama masuk pemulihan secara sukarela dan satu lagi mengikut perintah mahkamah.
“Program rehabilitasi ini ambil masa selama 90 hari dan kita ada dua lokasi di Selangor. Kita juga sediakan ujian dan penilaian khusus untuk pastikan keberkesanan pemulihan mereka,” katanya kepada pemberita.
Beliau ditemui selepas menghadiri seminar kesedaran perundangan Islam di Malaysia anjuran Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini, hari ini.
Menurut Dr Fahmi, jawatankuasa khas bawah Majlis Agama Islam Selangor (Mais) diberi tugas khusus menyelaras program pemulihan, termasuk menyedia modul pendidikan akidah dan kemahiran kerjaya.
Sehubungan itu, katanya, Kerajaan Negeri mempelawa lebih ramai bekas ahli GISBH hadir secara sukarela menyertai program berkenaan bagi meneruskan kehidupan dengan lebih baik.
“Yang mahu bertaubat, silakan (hadir ke program rehabilitasi). Semuanya ditanggung. Tetapi kita faham, mereka ini masih dalam pengaruh pemimpin mereka. Jika diarah pemimpin, pasti mereka akan hadir,” katanya.
Terdahulu, Ketua Pengarah MKN Datuk Raja Nurshirwan Zainal Abidin mengumumkan pembukaan semula pendaftaran program rehabilitasi sukarela kepada ahli GISBH sehingga satu tarikh kelak.
Pendaftaran program boleh dilakukan menerusi menerusi pautan https://form.jotform.com/242760538389468 atau hubungi pusat panggilan Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) di talian 03-88707294 / 7295 / 7296 atau MKN di talian 03-88880733.
Selain itu, pendaftaran juga boleh dilakukan di semua Jabatan Agama Islam negeri dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) berhampiran.
Sebelum ini kerajaan menawarkan program rehabilitasi secara sukarela kepada ahli GISBH bermula 14 Oktober hingga 14 November lalu, bertujuan untuk membimbing mereka kembali ke ajaran Islam yang sebenar.
Berdasarkan rekod MKN, dianggarkan terdapat 10,500 ahli GISBH di seluruh negara.