SHAH ALAM, 28 NOV: Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang Dato' Abd Hamid Hussain bakal mengalas tugas sebagai Datuk Bandar Klang yang baharu berkuat kuasa 2 Disember.
Timbalan Datuk Bandar Klang Mohd Zary Affendi Mohd Arif berkata pelantikan Abd Hamid bagi menggantikan mantan Datin Paduka Noraini Roslan yang bersara pada 20 November.
"Saya mewakili warga kerja Majlis Bandaraya Diraja Klang mengucapkan ribuan terima kasih kepada mantan datuk bandar yang banyak menabur jasa selama berkhidmat," katanya mempengerusikan mesyuarat penuh hari ini.
Terdahulu, Majlis Amanat dan Penyerahan Surat Penempatan kepada Abd Hamid disempurnakan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Dato' Haris Kasim di pejabatnya di sini pagi tadi.
Noraini sebelum ini pernah berkhidmat di Majlis Daerah Hulu Selangor, Majlis Daerah Kuala Selangor, Majlis Perbandaran Petaling Jaya dan Ketua Jabatan Perancangan Bandar Majlis Perbandaran Klang.