ad
BERITA UTAMA

Naskhah terjemahan dunia perkaya khazanah bacaan bahasa Melayu

28 Nov 2024, 4:00 AM
Naskhah terjemahan dunia perkaya khazanah bacaan bahasa Melayu
Naskhah terjemahan dunia perkaya khazanah bacaan bahasa Melayu

Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) rancak menterjemah pelbagai karya bermutu tinggi seterusnya memperkaya perbendaharaan ilmu dan khazanah bacaan dalam bahasa Melayu.

Ditubuh pada 2016 melalui geran tahunan Kerajaan Selangor, IBDE menterjemah naskhah bertema agama, sejarah negarawan, politik, biografi tokoh, sastera, sains, falsafah dan budaya.

Usaha tersebut mendapat sambutan penggemar buku. Paling popular naskhah berjudul Muhammad: Riwayat Hidup Berdasarkan Sumber Terawal karya Martin Lings atau nama Islamnya Abu Bakar Sirajuddin.

Sebelum ini bekerjasama dengan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), IBDE kemudian menjalin usaha sama dengan Media Selangor Sdn Bhd dalam menerbitkan beberapa naskhah lagi tahun ini.

Karya berkenaan meliputi genre sejarah antaranya Detik-detik Akhir Empayar Utsmaniah yang memperinci gambaran Empayar Utsmaniah pada zaman geloranya antara 1789 hingga 1918.

Pembaca dibawa mengenali kekuatan, kelemahan dan ketahanan sebuah empayar Islam moden yang berada di ambang kejatuhan sebelum hanya tinggal nama pada masa ini.

Genre agama juga tidak ketinggalan. Ramuan Kebahagiaan karangan Imam al-Ghazali membawa khalayak kepada perjalanan menuju kebahagiaan sejati yang dikongsikan tokoh tersohor itu.

Melalui hikmah dan renungan mendalam, buku berkenaan sesuai sebagai panduan mengubah hidup bagi pencari kebahagiaan dan pencerahan kerohanian.

Turut diterjermah, novel Penaklukan Andalusia tulisan Jurji Zaidan, pemimpin Pencerahan Arab awal kurun ke-20. Karya itu berkisar detik awal penaklukan Andalusia oleh tentera Islam.

Karya itu mengheret pembaca ke dunia penuh tipu daya, kebijakan dalam membuat keputusan dan pastinya kehebatan pejuang yang mendamba kemenangan.

[caption id="attachment_645392" align="alignnone" width="836"] Orang ramai melihat buku terbitan Inisiatif Buku Darel Ehsan (IBDE) ketika mengunjungi Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur pada 30 Mei 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI[/caption]

Karya klasik

Hikayat Hayy bin Yaqzan karya Abu Bakar Muhammad Ibn Tufail pada abad ke-12 pula memaparkan watak manusia dibesarkan seekor rusa betina dan tercari-cari kebenaran dalam kehidupan.

Naskhah yang menggabungkan unsur falsafah, teologi, tasawuf dan sains dikatakan menjadi inspirasi kepada kemunculan watak Tarzan, Mowgli dan Robinson Crusoe beberapa abad kemudian.

Perempuan Seribu Satu Malam pula antara versi terjemahan cerita asal Seribu Satu Malam dalam bahasa Arab yang memapar empat kisah, dari petualangan heroik hingga perkasihan maksyuk.

Teks klasik ditampilkan dalam laras bahasa moden supaya lebih mudah difahami. Pengenalan dimuatkan untuk membantu pembaca memahami konteks dan analisis kisah dari wilayah Timur Tengah itu.

Novel lain, Kepada Rumah Api tulisan Virginia Woolf yang dianggap karya sastera terbaik abad ke-20. Ia mengisahkan pasangan suami isteri yang mempersoal makna hubungan dalam perkahwinan.

Mata-Mata Gelap Malaya: Peranan Cawangan Khas Pada Zaman Darurat 1945–60 pula mendedahkan kisah di sebalik tabir anggota Cawangan Khas yang bergiat di tengah-tengah masyarakat awam tanpa diketahui umum.

Mereka berkorban nyawa melindungi rakyat dan tanah air melalui pelbagai operasi khas, seterusnya membantu mencipta suasana kemakmuran dan keamanan di negara ini.

Bakal terbit, novel Perincian yang berasaskan kisah benar tragedi di Palestin pada 1949.

Tulisan Adania Shibli itu menang anugerah LiBeraturpreis pada 2023 dan dicalonkan untuk National Book Award for Translated Literature pada 2020 selain International Booker Prize (2021).

Orang ramai berpeluang memperoleh karya terjemahan IBDE dalam Pesta Buku Antarabangsa Selangor antara 27 Novermber hingga 3 Disember di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam.

Naskhah berkenaan juga boleh didapati melalui kedai buku Rencana di Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya atau secara dalam talian menerusi pautan http://www.bukuibde.com

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.