SHAH ALAM, 28 NOV: Sidang Kemuncak Pendidikan Selangor (SES) melibatkan empat ekspo utama termasuk Worldskills Malaysia Selangor 2024 akan meneroka teknologi dan kemahiran terkini bagi mendepani ekonomi masa depan.
Dato’ Menteri Besar berkata ekspo edisi pertama itu juga sejajar dengan fokus pentadbiran yang mahu meningkatkan pengetahuan asas selain mendalami pengetahuan bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).
Jelas Dato’ Seri Amirudin Shari, ekspo berlangsung hingga Ahad ini melibatkan penyertaan syarikat terkemuka antaranya Siemens, Dassault Systemes, Festo, Apple, dan KNX yang mempamerkan produk unggul masing-masing.
“Pelajar yang telah meyertai kursus dengan syarikat-syarikat ini melalui kerjasama Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor akan bersaing dalam format pertandingan worldSkills yang terkenal.
“Usaha ini bakal membantu negeri memenuhi keperluan digariskan termasuk menyedia peluang pekerjaan berkualiti tinggi,” katanya.
[caption id="attachment_675232" align="alignnone" width="747"] Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan berangkat pada Majlis Perasmian Sidang Kemuncak Pendidikan Selangor (SES) dan Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2024 di Pusat Konvensyen Setia City pada 27 November 2024. Hadir sama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Beliau berucap ketika Majlis Perasmian SES dan Ekspo Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2024 semalam yang disempurnakan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.
Berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City, SES yang turut melibatkan Ekspo Penyelidikan dan Inovasi Selangor (SRIE); Ekspo Pendidikan dijangka menarik kehadiran lebih 300,000 pengunjung.
Tahun ini, Selangor memperuntuk hampir RM100 juta bagi pembangunan pendidikan dan bantuan persediaan pelajar seperti Kumpulan Wang Biasiswa Negeri Selangor dan pinjaman boleh ubah.
Tawaran Kita Selangor yang dilancarkan pada 31 Julai 2023 turut merangkumi insentif pendidikan antaranya baucar Buku Kita Selangor RM200 dan latihan teknikal dan vokasional kepada 10,000 anak muda.