ad
AGENDA

Sidang Kemuncak Pendidikan perkasa pembelajaran, depani cabaran sosioekonomi

27 Nov 2024, 1:30 PM
Sidang Kemuncak Pendidikan perkasa pembelajaran, depani cabaran sosioekonomi

SHAH ALAM, 27 NOV: Sidang Kemuncak Pendidikan Selangor (SES) yang menghimpunkan empat ekspo merupakan langkah negeri dalam memperkasa pembelajaran sepanjang hayat.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata meski sektor berkenaan di bawah tanggungjawab kerajaan persekutuan, namun pentadbiran merasakan ia perlu diteroka bagi mendepani keperluan moden dan cabaran sosioekonomi.

“Pendidikan tidak boleh dihadkan dalam bilik darjah sahaja. Kita perlu tangkas menyesuaikan diri dengan perubahan besar di seluruh dunia termasuk tumpuan kepada kecerdasan buatan (AI), perubahan iklim, keterjaminan makanan atau geopolitik.

“Cabaran ini perlu didekati dengan minda terbuka dan menjadikan pendidikan sebagai penyelesaian utama bagi mempersiap generasi masa depan. Ini punca kita utamakan pendidikan teknikal dan vokasional (TVET),” katanya.

Beliau berucap ketika majlis perasmian SES dan Ekspo Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2024 yang disempurnakan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj hari ini.

Amirudin berkata walaupun tumpuan lebih kepada bidang baharu namun sektor TVET seperti perpaipan, pendawaian dan automatik tetap diteruskan dengan nilai lebih tinggi.

“Untuk mengukuhkan penerokaan bidang AI, Selangor memulakan program kolaboratif dengan syarikat terkemuka seperti Apple, Siemens, Festo, Dassault Systemes, KNX, dan Mendix.

“Tahun akan datang, kita perluaskan kerjasama ini termasuk Google, yang telah melabur dalam pembinaan pusat data di Selangor bagi meningkatkan kapasiti modal insan,” katanya.

Berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City, SES yang julung kali diadakan menghimpunkan empat ekspo utama berteras pendidikan iaitu SIBF dan Ekspo Penyelidikan dan Inovasi Selangor (SRIE).

Program turut melibatkan Ekspo Pendidikan Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) Selangor serta Worldskills Malaysia Selangor 2024 dengan jangkaan lebih 300,000 pengunjung hadir.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.