ad
EXCO

Speaker puas hati prestasi perbahasan, Dewan Negeri Selangor ditangguh

27 Nov 2024, 12:57 PM
Speaker puas hati prestasi perbahasan, Dewan Negeri Selangor ditangguh
Speaker puas hati prestasi perbahasan, Dewan Negeri Selangor ditangguh

SHAH ALAM, 27 NOV: Speaker Lau Weng San berkata beliau berpuas hati dengan prestasi perbahasan semua Ahli Dewan Negeri (ADN) pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas.

Menurut Weng San, pemberian tambahan masa hingga dua jam sepanjang sembilan hari persidangan memberi ruang buat semua wakil rakyat melibatkan ADN kerajaan, pembangkang dan bebas untuk memberi ucapan, melontarkan fikiran dan membangkitkan isu di kawasan masing-masing.

“Setiap ADN menggunakan masa yang diperuntuk selama 15 minit dan saya memerhatikan mereka menggunakan peluang ini sebaik-baiknya.

“Tambahan masa memain peranan sangat penting untuk melicinkan pengurusan dan perjalanan dewan (sidang DUN).

[caption id="attachment_675228" align="alignleft" width="500"] Speaker Dewan Negeri Selangor, Lau Weng San pada sidang media selepas Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Ke-15 di luar Dewan Negeri Selangor pada 27 November 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]

“Saya puas hati dengan prestasi mereka yang mahir membahagikan masa yang diberi kerana kita tidak boleh panjangkan lagi tempoh persidangan. Ia akan memberi kesan seperti keletihan dan jejas produktiviti wakil rakyat,” katanya.

Ditemui pemberita di Dewan Annex, beliau memaklumkan 104 soalan lisan berjaya dijawab selain empat rang undang-undang (RUU) serta sembilan usul diluluskan.

Menurutnya, sidang DUN kali ini meluluskan RUU Perbekalan 2025, RUU Perbekalan Tambahan 2024, RUU Enakmen Diraja dan RUU Pindaan Tabung Biasiswa.

“Selain itu, empat usul jawatankuasa penyata, usul penyata pindaan peraturan tetap dan usul ekonomi penjagaan turut diluluskan.

“Usul terakhir yang dilulus keanggotaan ADN Kuala Kubu Bharu Pang Sock Tao pada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam menggantikan ADN Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze,” ujarnya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.