ad
AGENDA

MB: Selangor cadang rangka belanjawan khas untuk SUKMA 2026

27 Nov 2024, 12:00 PM
MB: Selangor cadang rangka belanjawan khas untuk SUKMA 2026
MB: Selangor cadang rangka belanjawan khas untuk SUKMA 2026
MB: Selangor cadang rangka belanjawan khas untuk SUKMA 2026

SHAH ALAM, 27 NOV: Kerajaan Negeri bercadang merangka belanjawan khas sekiranya peruntukan pembangunan atlet dan infrastruktur sukan negeri tidak cukup dalam persediaan Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata cadangan itu susulan penyediaan peruntukan RM6 juta kepada sektor berkenaan dalam Belanjawan Negeri 2025, berbanding RM8 juta sebelum ini.

“Ia berikutan kita meletakkan satu siling dalam Rancangan Malaysia Ke-12 dan Rancangan Selangor Pertama (RS-1) dengan peruntukan untuk Majlis Sukan Negeri Selangor adalah RM35 juta dalam tempoh lima tahun sehingga 2025.

“Pada tahun ini kita telah berbelanja sampai RM29 juta (merangkumi) perbelanjaan pembangunan dan persiapan atlet menjelang SUKMA 2024 serta insentif kepada pemenang pingat termasuk juga bantuan kepada atlet paralimpik SUKMA yang telah berlangsung," katanya.

[caption id="attachment_674727" align="aligncenter" width="1143"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari membentangkan Belanjawan Selangor 2025 di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 15 November 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Usul Bajet Peruntukan Pembangunan 2025 di persidangan Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Pada pembentangan Belanjawan Negeri 2025, Amirudin mengumumkan peruntukan RM6 juta untuk melaksana program pembangunan sukan sebagai persiapan SUKMA ke-22.

Dalam pada itu, Amirudin berkata Kerajaan Negeri menganggar kos lebih RM150 juta diperuntuk bagi menganjur temasya SUKMA selain penggunaan 90 peratus infrastruktur di Selangor.

“Mungkin ada keperluan penganjuran acara di luar negeri, contohnya penggunaan velodrom di Nilai, Negeri Sembilan jika kita ingin menganjurkan acara basikal dalam velodrom kerana jaraknya dengan Selangor tidak jauh.

“Untuk perasmian (SUKMA 2026) memandangkan Stadium Shah Alam tidak siap lagi, tempat telah kita fikirkan adalah Stadium Merdeka di Kuala Lumpur," katanya.

Pada 18 Julai lalu, Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia memutuskan Selangor sebagai tuan rumah temasya SUKMA 2026 selepas kali terakhir menjadi tuan rumah sukan berprestij itu pada 1998.

[caption id="attachment_663089" align="aligncenter" width="1168"] Atlet serta pegawai Selangor menyertai perbarisan lintas hormat kontinjen negeri pada acara pembukaan Sukan Malaysia ke-19 (SUKMA XXI) Sarawak, 17 Ogos 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIASELANGOR[/caption]

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.