SHAH ALAM, 27 NOV: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor berkenan merasmikan Sidang Kemuncak Pendidikan Selangor (SES) dan Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2024 yang bermula hari ini.
Berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj turut menyampaikan plak penghargaan kepada wakil program Selangor International Fellowship antaranya Mongolia, Algeria, Vietnam, Filipina, India dan Jepun.
Baginda diiringi Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari kemudian meluang masa melawat rerurai pesta buku selain bermesra dengan pempamer dan pengunjung.
Tahun ini, pesta buku yang berlangsung bawah SES diadakan hingga 3 Disember menyasarkan kehadiran 300,000 pengunjung.
SIBF julung kali dianjurkan pada 2022, merupakan kesinambungan daripada Pesta Buku Selangor yang dianjurkan selama sejak 2006.
Bermula tahun lalu, pentadbiran turut menganjur Pesta Buku Kanak-Kanak Selangor bertempat di Kompleks PKNS, melibatkan penyertaan penulis, penerbit dan penjual buku tempatan.
SIBF 2023 merekodkan kehadiran lebih 250,000 orang daripada pelbagai lapisan usia sepanjang 10 hari penganjuran yang bermula 1 Disember di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam di Seksyen 13.
[caption id="attachment_675209" align="aligncenter" width="698"] Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah (tengah) berkenan bergambar bersama peserta program Selangor International Fellowship ketika Majlis Perasmian Sidang Kemuncak Pendidikan Selangor (SES) dan Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2024 di Pusat Konvensyen Setia City pada 27 November 2024. Hadir sama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR[/caption]