KUALA LUMPUR, 27 NOV: Lima pegawai kadet (PK) Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang terlibat dalam tiga kes penganiayaan pegawai kadet ALK lain baru-baru ini dibatalkan pelantikan sebagai PK dan diberhentikan daripada perkhidmatan dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam kenyataan hari ini berkata perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera (MAT) yang bersidang semalam selepas meneliti syor dikemukakan ALK.
“Selain itu kesemua pegawai kadet yang terlibat diarah membayar ganti rugi kepada Kerajaan Malaysia yang dikira daripada keseluruhan perbelanjaan sepanjang tempoh pengajian mereka,” katanya.
Beliau berkata kesemua tindakan yang dikenakan itu tidak tertakluk kepada tindakan lain yang diambil oleh UPNM sendiri mahupun Jabatan Peguam Negara.
Mohamed Khaled berkata bagi kes kes pertama, ia melibatkan penganiayaan terhadap PK Muhammad Salman Mohd Saiful Surash.
Kejadian itu disedari jurulatih bertugas ALK ketika melakukan pemeriksaan tubuh berkala pada 28 Oktober lalu dan selepas siasatan pelaku didapati melakukan penganiayaan fizikal terhadap mangsa.
Mohamed Khaled berkata Amirul Iskandar dihentikan pelantikannya sebagai PK, ditamatkan perkhidmatan dalam ATM dan dikenakan tindakan bayaran ganti rugi RM44,600.20 dan telah dituduh di Mahkamah Sesyen Jenayah Kuala Lumpur di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan pada 8 November lalu dengan prosiding masih berjalan.
Beliau berkata kes kedua pula melibatkan penganiayaan terhadap PK Alief Ahsreihan Ahslemy.
Tiga individu, Izzat Izuddin Mohammad Arif, Muhammad Hidayat Haqimi Mohd Yuslan dan Ku Muhammad Irfan Ku Zaimi dibatalkan pelantikan sebagai PK, ditamatkan perkhidmatan dalam ATM dan masing-masing dikenakan bayaran ganti rugi sejumlah RM48,452.75, RM19,481.70 dan RM44,600.20.
Kes ketiga pula melibatkan tindakan salah laku secara fizikal terhadap PK Yeong Kian Rui yang dia mengalami kecederaan ‘soft tissue injury over lower back secondary to trauma’.
Ammar Hafiy Muhammad Habib dibatalkan pelantikannya sebagai PK dan ditamatkan perkhidmatan dalam ATM serta dikenakan bayaran ganti rugi berjumlah RM32,115.95.
Mohamed Khaled berkata beliau berharap agar keputusan yang diambil menjadi pengajaran kepada semua pihak serta dapat memulih dan memperkasa nilai ketenteraan yang sepatutnya diamalkan.
Mohamed Khaled turut menegaskan Kementerian Pertahanan tidak berkompromi terhadap sebarang bentuk penganiayaan dalam mana-mana institusi ketenteraan dan akan terus menambahbaik mekanisme pencegahan bagi mengelakkan kejadian penganiayaan berulang.
“Kementerian Pertahanan memberi komitmen untuk memastikan sebarang tindakan yang bertentangan dengan etika dan peraturan ditetapkan ditangani dengan tegas dan keras,” katanya.
- BERNAMA