ad
AGENDA

Ditipu skim pelaburan di Facebook, pesara rugi RM577,000

27 Nov 2024, 5:26 AM
Ditipu skim pelaburan di Facebook, pesara rugi RM577,000

KUANTAN, 27 NOV: Seorang pesara lelaki berusia 56 tahun mengalami kerugian RM577,000 selepas terpedaya dengan skim pelaburan tidak wujud yang diiklan menerusi media sosial bulan lepas.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata pada mulanya lelaki itu berminat menyertai skim pelaburan saham yang menjanjikan keuntungan lumayan selepas melihat satu tawaran hebat di platform Facebook.

Beliau berkata lelaki itu kemudiannya diberikan pautan untuk mengisi maklumat peribadi, dan dalam tempoh 8 Okt sehingga 21 Nov, dia telah membuat 15 transaksi menggunakan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta simpanan sendiri untuk pembelian saham menerusi aplikasi yang diberikan.

“Dia kemudiannya dimaklumkan telah mendapat keuntungan lebih RM7.7 juta, namun dia mula menyedari ditipu setelah hasil keuntungan itu tidak dapat dikeluarkan, malah aplikasi pelaburan berkenaan dipadamkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Yahaya berkata lelaki itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.