ad
BERITA UTAMA

Projek perumahan Harmoni Madani bermula 2025, siap dalam dua tahun

27 Nov 2024, 4:16 AM
Projek perumahan Harmoni Madani bermula 2025, siap dalam dua tahun

SHAH ALAM, 27 NOV: Kerja pembinaan Program Residensi Rakyat (PRR) Harmoni Madani di Bestari Jaya, Kuala Selangor dijangka bermula awal tahun depan dengan tempoh siap selama dua tahun.

EXCO Perumahan Dato’ Borhan Aman Shah berkata projek berkenaan mendapat kelulusan Kebenaran Merancang daripada Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) pada 28 Oktober lalu.

Menurutnya, ia melibatkan pembangunan 245 unit komponen rumah teres satu tingkat dilengkapi tiga bilik tidur dan satu bilik air, dengan cadangan keluasan lot 20x60 kaki.

"Cadangan reka bentuk kediaman akan dimuktamad setelah mendapat kelulusan pelan bangunan daripada MPKS, manakala harga jualan seunit RM45,000 kepada bekas pekerja ladang yang diperakukan," katanya.

Jawapan Borhan kepada wakil rakyat Kuala Kubu Bharu Pang Sock Tao dibacakan EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim dalam persidangan Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Borhan menjelaskan projek pembinaan rumah tersebut dipersetujui bersama kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan kos keseluruhan RM75 juta.

"Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 10 Mei lalu bersetuju secara dasarnya dengan cadangan penyelesaian rumah kediaman bekas pekerja Ladang Berjaya City menerusi peruntukan KPKT sebanyak RM40 juta dan Selangor berjumlah RM35 juta," katanya.

Pada Mei lalu, Menteri KPKT Nga Kor Ming mengumumkan pembinaan projek perumahan rakyat untuk 245 peneroka membabitkan lima estet sekitar Bestari Jaya, sekali gus mengakhiri penantian 26 tahun.

Menurutnya, projek seluas 8.09 hektar itu melibatkan penduduk estet Ladang Mary, Ladang Nigel Garder, Ladang Bukit Tagar, Ladang Sungai Tinggi dan Ladang Minyak.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.