SHAH ALAM, 27 NOV: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menyasar untuk mencapai margin keuntungan hingga RM200 juta pada 2031, maklum Dato’ Menteri Besar.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ketetapan itu berdasar pelarasan tarif air kategori bukan domestik yang ditetapkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) pada 2022.
“Kerajaan Negeri mempunyai pelan perniagaan yang telah dihantar ke SPAN bagi menetapkan tempoh tertentu untuk Air Selangor memperoleh keuntungan daripada operasi secara keseluruhan.
“Selain itu, bebanan yang dihadapi adalah kenaikan tarif elektrik atau imbalance cost pass-through (ICPT). Keadaan sebegini menyebabkan Air Selangor menganjakkan tempoh capai keuntungan pada 2031,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan wakil rakyat Bukit Gasing R Rajiv yang ingin mengetahui rancangan Air Selangor untuk mengelak menanggung kerugian operasi dalam Sidang Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Amirudin memaklumkan Kerajaan Negeri menyasarkan untuk mengurangkan penghasilan air tidak berhasil (NRW) kebangsaan kepada 27 peratus tahun ini.
“Pada hari ini kadar semasa NRW ialah 27.2 peratus dan Air Selangor dalam ‘right track’ untuk mencapai 27 peratus pada akhir tahun ini.
“Ia juga akan menyumbang untuk raih margin keuntungan RM200 juta pada 2031 nanti melalui pencapaian kita mengurangkan kadar NRW,” jelasnya.