ad
AGENDA

Disyaki curi Ferrari di pusat cuci kereta, enam individu ditahan

26 Nov 2024, 2:13 PM
Disyaki curi Ferrari di pusat cuci kereta, enam individu ditahan

SHAH ALAM, 26 NOV:- Polis menahan enam individu termasuk seorang wanita dipercayai terlibat dalam kes kecurian sebuah kereta mewah jenis Ferrari, yang dilaporkan hilang 17 Nov di sebuah pusat cuci kereta di Hulu Kelang.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata tangkapan terhadap lima warga tempatan dan seorang warganegara asing itu, dilakukan secara berasingan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya.

Beliau berkata susulan tangkapan itu polis turut merampas empat buah kereta iaitu Ferrari, Naza Suria dan dua kereta jenis BMW.

“Turut dirampas lapan telefon bimbit, dua batang anak kunci termasuk Ferrari, beg silang, passport Malaysia, tali lanyard bersambung pisau berhulu.

“Selain itu, tiga alat kawalan jauh kereta, kad akses rumah dan sebungkus plastik lutsinar tertera tulisan 'diamond'," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hussein berkata daripada kesemua suspek berusia antara 23 hingga 40 tahun itu hanya seorang yang mempunyai dua rekod jenayah dadah dan didapati positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamime, ketika ujian saringan dilakukan manakala selebihnya tidak mempunyai sebarang rekod.

Beliau berkata sebanyak tiga suspek telah dijamin dan dua suspek direman sehingga esok manakala seorang sehingga 3 Dis.

“Siasatan lanjut masih dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Ampang Jaya dan tindakan mengesan rakan sejenayah yang lain masih diteruskan," katanya.

Kes disiasat di bawah seksyen 379A Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.