ad
AGENDA

Sekumpulan lelaki bersenjata larikan barang kemas lebih RM1.5 juta

26 Nov 2024, 1:11 PM
Sekumpulan lelaki bersenjata larikan barang kemas lebih RM1.5 juta

IPOH, 26 NOV: Polis giat mengesan sekumpulan lelaki disyaki melakukan samun bersenjata terhadap dua lelaki dan melarikan barang kemas dianggar bernilai RM1.54 juta di sini hari ini.

Pemangku Ketua Polis Perak DCP Zulkafli Sariaat berkata pihaknya menerima maklumat berkaitan kejadian kira-kira 9.30 pagi.

Beliau berkata kesemua suspek terdiri daripada beberapa lelaki memakai topeng muka dan bersenjatakan parang melarikan diri dengan menaiki kereta jenis Volvo putih, BMW coklat dan Toyota Estima hitam.

"Ketika kejadian, dua mangsa itu baru keluar dari sebuah premis perniagaan di lokasi berkenaan dan membawa beg berisi barang kemas dianggar seberat 4.1 kilogram bernilai RM1.54 juta.

"Ketika mangsa hendak menyimpan beg terbabit di dalam but kenderaan mereka, suspek meluru dan terus melanggar bahagian belakang kereta sebelum merompak mangsa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Zulkafli berkata beberapa saksi awam melihat kejadian dan merakam video dengan menggunakan telefon bimbit bagi membantu siasatan polis.

Beliau berkata berdasarkan siasatan awal, kesemua suspek disyaki menggunakan nombor pendaftaran kenderaan palsu.

Pasukan forensik, katanya sedang menjalankan siasatan lanjut di tempat kejadian bagi mendapatkan bukti dan barang kes yang berkaitan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan manakala orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai polis berdekatan bagi membantu siasatan,” katanya.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.