SABAK BERNAM, 26 NOV: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor berkenan melancarkan Karnival Ban Canal 2024 di Parit 14, Simpang Lima di sini, hari ini.
Tengku Amir Shah diiringi EXCO Kemajuan Desa Datuk Rizam Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Saipolyazan M Yusop.
Baginda melepaskan 10,000 benih ikan baung ke parit dan menyempurnakan pelepasan perlumbaan kayak serta kanu sebagai simbolik perasmian.
[caption id="attachment_675041" align="aligncenter" width="939"] Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah, Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Saipolyazan M Yusop (tiga dari kanan) dan EXCO Kemajuan Desa Datuk Rizam Ismail (kanan sekali) melepaskan 10,000 benih ikan baung ke parit dan menyempurnakan pelepasan perlumbaan kayak serta kanu sebagai simbolik perasmian Karnival Ban Canal 2024 di Parit 14, Simpang Lima Sungai Besar, Selangor pada 26 November 2024. Foto HARUN TAJUDIN /MEDIA SELANGOR[/caption]
Selesai perasmian, Baginda dibawa meninjau ke reruai pempamer agensi kerajaan dan swasta sambil beramah mesra dengan pempamer di situ.
Tengku Amir Shah kemudian berkenan melawat gerai jualan peniaga Platform Selangor (PLATS) dan memenuhi permintaan pengunjung untuk swafoto sebelum berangkat pulang pada jam 6.45 petang.
Sepanjang enam hari penganjuran hingga 1 Disember ini, pelbagai aktiviti menarik menanti pengunjung termasuk saringan kesihatan percuma, jualan makanan dan minuman, larian bendang dan maraton kayak.
Aktiviti lain termasuk jualan hasil tani tempatan, konsert dan pertunjukan perahu naga dan tradisional.
Karnival ini anjuran bersama antara MBI serta Pejabat Daerah dan Tanah Sabak Bernam, Majlis Daerah Sabak Bernam selain rakan strategik iaitu Persatuan Kanu Selangor Scan.
Sebelum ini Rizam berkata tahun lalu, karnival berkenaan berjaya menarik kehadiran 13,889 pengunjung.
Ekopelancongan ban canal antara 18 Projek, Program dan Inisiatif (PPI) yang didaftarkan di bawah Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA).
[caption id="attachment_675043" align="aligncenter" width="1162"] Orang ramai menyaksikan perlumbaan kayak dan kanu selepas perasmian Karnival Ban Canal 2024 di Parit 14, Simpang Lima Sungai Besar, Selangor pada 26 November 2024. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR[/caption]