ad
AGENDA

Potensi pelaburan lawatan PM ke Korea Selatan RM32.8 bilion

26 Nov 2024, 10:34 AM
Potensi pelaburan lawatan PM ke Korea Selatan RM32.8 bilion

Daripada Mohd Shukri Ishak

SEOUL, 26 NOV: Lawatan rasmi tiga hari Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Korea Selatan yang berakhir hari ini menjana potensi pelaburan bernilai RM32.8 bilion kepada Malaysia.

Bercakap kepada pemberita pada akhir lawatan itu, beliau berkata lawatan tersebut bukan sahaja mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara kedua-dua negara, malah membuka ruang dan peluang untuk menarik pelaburan berimpak tinggi ke Malaysia ketika pertemuan dengan kalangan syarikat besar negara itu.

Selain mengadakan pertemuan dengan Presiden Korea Selatan Yoon Suk Yeol semalam, Anwar, yang juga Menteri Kewangan turut mengadakan pertemuan tertutup dengan beberapa konglomerat Korea Selatan, termasuk yang dikenali sebagai chaebol (tokoh korporat) atau konglomerat milik keluarga, yang secara tradisinya menikmati hubungan rapat dengan kerajaan Korea Selatan.

Pertemuan itu melibatkan syarikat termasuk Hyundai Motor, Lotte, OCI Holdings, Samsung, SK Nexilis dan POSCO.

“Setakat ini, potensi pelaburan adalah sebanyak RM32.8 bilion dan potensi eksport Malaysia (ke Korea Selatan) sebanyak RM1.3 bilion,” kata Anwar di sini hari ini.

Terdahulu, Hyundai Motor mengumumkan pelaburan baharu bernilai US$479 juta di Malaysia bagi tempoh enam tahun, menerusi perkongsian strategik bersama Inokom bagi pemasangan automotif untuk beberapa model baharu di Malaysia tahun depan.

Korea Selatan merupakan rakan dagang ketujuh terbesar Malaysia manakala Malaysia pula ialah rakan dagang ke-11 terbesar bagi Korea Selatan.

Bagi 10 bulan tahun ini, jumlah perdagangan Malaysia dan Korea Selatan mencecah RM91.1 bilion (US$19.8 bilion).

Turut mengiringi Anwar semasa lawatan itu ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.