SABAK BERNAM, 26 NOV: Karnival Pengguna Daerah Sabak Bernam anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor bertujuan meningkatkan kesedaran dan perlindungan hak masyarakat sebagai pengguna.
EXCO pengguna berkata program itu adalah usaha untuk mendidik orang ramai menjadi pengguna bijak, berdaya upaya dan bertanggungjawab.
Menurut Datuk Rizam Ismail, inisiatif ‘Hero Pengguna’ (HP) dan Gerakan Pengguna Siswa (GSP) turut dilancar yang akan menjadi ejen Kerajaan Negeri dan KPDN Selangor bagi mempertahankan hak serta kepentingan pengguna.
“Hero Pengguna dianggotai Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) berperanan memastikan pengguna dapat keadilan dan perlindungan dari penipuan selain penindasan.
“Daerah Sabak Bernam menjadi perintis pelaksanaan inisiatif Hero Pengguna sebelum diperluas ke seluruh daerah tahun depan.
[caption id="attachment_674998" align="aligncenter" width="1070"] EXCO Pengguna Datuk Rizam Ismail melancarkan Karnival Pengguna Daerah Sabak Bernam di perkarangan Stadium Mini Sabak Bernam pada 26 November 2024. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
“Selain itu, GSP juga memain peranan yang sama di kalangan mahasiswa diwakili wakil penuntut Kolej Tingkatan Enam Tunku Abdul Rahman Putra,” katanya.
Beliau ditemui selepas merasmikan karnival itu di perkarangan Stadium Mini Sabak Bernam, di sini hari ini.
Pada majlis sama, Rizam memberitahu program Jualan Ehsan Rahmah (JER) yang turut diadakan pada karnival itu mendapat sambutan malah semua barangan habis terjual dalam tempoh empat jam.
Tambahnya, aktiviti menarik lain seperti pemeriksaan gigi percuma oleh Klinik Pergigian Daerah Sabak Bernam, pameran pendidikan Netherlands Maritime Universiti College, jualan kopi dan pertandingan kuiz.
“Karnival ini diadakan serentak dengan jelajah Gagasan Rumpun Selangor yang memberi peluang kepada Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor mendekatkan diri dengan masyarakat.
“Tengku Amir Shah dijadual berkenan berangkat ke karnival pada petang ini,” katanya.
[caption id="attachment_675014" align="aligncenter" width="1206"] EXCO Pengguna Datuk Rizam Ismail menikmati kopi di Karnival Pengguna Daerah Sabak Bernam di perkarangan Stadium Mini Sabak Bernam pada 26 November 2024. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR[/caption]