ad
AGENDA

Malaysia minta Korea Selatan segerakan perolehan 18 pesawat pejuang

26 Nov 2024, 9:42 AM
Malaysia minta Korea Selatan segerakan perolehan 18 pesawat pejuang

Daripada Mohd Shukri Ishak

SEOUL, 26 NOV: Malaysia meminta proses perolehan 18 pesawat pejuang FA-50M buatan Korea Selatan yang dijadual diterima pada 2026 disegerakan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Kita meminta disegerakan (proses) pembelian yang beberapa tahun lalu diputuskan (iaitu) 18 unit pesawat FA-50M, yang sepatutnya sampai pada 2026.

“Kalau boleh dipercepatkan,” katanya dalam sidang media bersama media Malaysia di sini hari ini.

Anwar mengakhiri lawatan tiga hari ke Korea Selatan selepas menerima jemputan Presiden Yoon Suk Yeol.

Perdana Menteri bagaimanapun tidak memperincikan butiran rundingan untuk mempercepatkan proses perolehan berkenaan.

Pada September lepas, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pengeluar pesawat pejuang berkenaan, Korea Aerospace Industries (KAI) dan syarikat Hanwha Aerospace telah mencapai tahap 38 peratus pembinaan pesawat itu.

Pembelian 18 pesawat FA-50M dibuat pada tahun lepas manakala perolehan bagi pesawat berkenaan dimuktamadkan pada Mei 2023 dengan kontrak bernilai hampir RM4 bilion, bertujuan memperkasakan ketumbukan pertahanan Angkatan Tentera Malaysia khususnya Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam menjaga keselamatan dan kedaulatan ruang angkasa negara.

-- BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.