ad
EXCO

Program Iltizam Selangor Sihat ditambah baik, perkenal inisiatif rawatan dialisis

26 Nov 2024, 9:29 AM
Program Iltizam Selangor Sihat ditambah baik, perkenal inisiatif rawatan dialisis

Oleh Norrasyidah Arshad dan Suhaila Shahrul Annuar

SHAH ALAM, 26 NOV: Program Iltizam Selangor Sihat (ISS) akan ditambah baik dan diselaraskan semula bagi memastikan inisiatif tersebut memanfaatkan golongan memerlukan.

EXCO kesihatan berkata meskipun peruntukan program itu dikurangkan daripada RM35 juta kepada RM20 juta pada tahun depan, beberapa manfaat baharu diperkenalkan antaranya rawatan dialisis.

"Pengurangan peruntukan program ISS berbanding tahun ini tidak menjejaskan manfaat kepada penerimanya. Sebaliknya ia bertujuan menambah baik beberapa program termasuk menumpukan kepada penyelarasan program baharu.

"Tahun depan dengan peruntukan yang ada, kita telah tambah manfaat baharu iaitu rawatan dialisis untuk pastikan golongan memerlukan mendapat manfaat ini.

“Walaupun berkurangan RM15 juta, namun kuota dan manfaat kepada penerima bertambah. Lebih kepada penyelarasan dan ini berdasarkan prestasi program dan keadaan semasa,” kata Jamaliah Jamaluddin di sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Bercakap pada sesi penggulungan bacaan kedua Rang Undang-undang Perbekalan 2025, beliau berkata pentadbiran bersedia meneliti perkara terbabit sekiranya memerlukan peruntukan tambahan.

Menerusi belanjawan tahun depan, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukan RM20 juta untuk meneruskan program ISS sekali gus membantu rakyat menerima rawatan asas secara percuma termasuk manfaat perlindungan kematian dan penyakit kritikal.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.