ad
BERITA UTAMA

Negeri peruntuk RM493 juta laksana 13 projek tebatan banjir di Klang

26 Nov 2024, 5:00 AM
Negeri peruntuk RM493 juta laksana 13 projek tebatan banjir di Klang

SHAH ALAM, 26 NOV: Sebanyak 13 projek tebatan banjir melibatkan peruntukan lebih RM493 juta dilaksana di Klang bagi mengurangkan risiko bah kawasan terbabit, kata EXCO infrastruktur.

Ir Izham Hashim berkata tujuh projek dalam proses pelaksanaan iaitu tebatan banjir Sungai Kandis (32 peratus), Sungai Rasau (28 peratus), Taman Melawis (66 peratus) dan lembangan Sungai Rasau (77 peratus).

Beliau menjelaskan tiga lagi projek turut dilaksana tebatan banjir Sungai Kembong (49 peratus), Sungai Pinang (52 peratus) serta kolam tampungan banjir di Lebuhraya Shahpadu berhampiran Bukit Raja (22 peratus).

“Empat projek dalam fasa prapelaksana ialah projek banjir di Sungai Enam Sementa, sistem saliran Batu 4 Kapar, sistem saliran Batu 4 dan Batu 7 Jalan Bukit Kemuning serta saliran Kampung Johan Setia.

“Semua 11 projek ini membabitkan peruntukan negeri sebanyak RM133.8 juta manakala dana persekutuan sebanyak RM359.7 juta membabitkan dua projek tebatan banjir iaitu Seri Muda dan Sungai Kapar yang dalam fasa pelaksanaan,” katanya.

Menjawab soalan di sidang Dewan Negeri Selangor hari ini, Izham meminta semua pihak untuk bekerjasama dan menyelaraskan tugasan selain mengenal pasti projek banjir setiap lima tahun.

“Sebelum ini ada masalah komunikasi antara pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS). Ramai beranggapan banjir diurus JPS tapi sebenarnya ada bawah daerah, jalan kampung, parit kampung dan melibatkan PBT.

“Saya telah bertemu beberapa kali untuk menyelaras. Saya minta mereka menamakan projek menaik taraf sekurang-kurangnya lima tahun ke depan untuk kurangkan risiko banjir,” katanya.

Minggu lalu, lima kawasan di daerah Klang dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat berterusan. Kawasan itu ialah di Bandar Bukit Raja, Kampung Batu Belah, Rantau Panjang, Meru dan Padang Jawa.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.