ad
BERITA UTAMA

Memahami konsep ekonomi berimbang, meluruskan kepincangan pasaran

26 Nov 2024, 3:30 AM
Memahami konsep ekonomi berimbang, meluruskan kepincangan pasaran
Memahami konsep ekonomi berimbang, meluruskan kepincangan pasaran
Memahami konsep ekonomi berimbang, meluruskan kepincangan pasaran
Memahami konsep ekonomi berimbang, meluruskan kepincangan pasaran

Oleh FATHI ARIS OMAR

Cerita apa di sebalik judul lapan atau sembilan buah buku yang dipetik dalam Belanjawan Selangor 2025? Dengan tema Selangor Dinamik: Cita Sempurna Malaysia Madani, belanjawan itu secara ringkasnya dipasak dasar pembangunan daripada idea buku-buku ini.

Walau bermula dengan idea agak rumit ahli falsafah ekonomi terkenal John Rawls, kesimpulannya telah lama dirumuskan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan ungkapan "ekonomi manusiawi".

Dekat dengan idea dua ahli ekonomi Joseph Stiglitz dan Thomas Piketty, perdana menteri menuang idea pembangunan berteraskan insan sejak tiga dekad lalu lagi, sesuai dengan latar aktivisme zaman mudanya pada 1970-an.

Ketika kemuncak ekonomi Asia, termasuk di Malaysia, Anwar mengupas ekonomi manusiawi dalam buku popularnya The Asian Renaissance (1996). Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari mengutip ringkas:

"Kita akur inovasi mengubah cara kita hidup dan bekerja, dan ia adalah pemacu kepada ekonomi yang lebih maju. Akan tetapi kita tidak akan mengabaikan 'humane economy', ekonomi manusiawi, yang diungkapkan oleh YAB perdana menteri dalam buku beliau (terjemahan), Gelombang Kebangkitan Asia."

Walau seringkas ini lontaran idea Anwar disampaikan di hujung ucapan selama dua jam pada 15 November, Amirudin memulakan pembentangan dengan menolak tanggapan bahawa pendekatan Putrajaya sebagai "Robin Hood".

Penolakan ini pula disandar pada hujah yang kuat daripada buku Rawls, Justice as Fairness: A Restatement (2001), penegasan lanjut karya klasiknya A Theory of Justice (1971).

"Pada pandangan Rawls, kita semua menikmati hak serta peluang yang sama. Namun ada ketika, suatu tindakan atau kebijakan harus dirumus untuk memastikan mereka yang tertinggal atau diabaikan diangkat atau didukung oleh kerajaan bagi memastikan mereka menikmati kehidupan yang bermaruah," tegas Amirudin.

Tambahnya, prinsip ini sejajar dengan cita-cita belanjawan persekutuan yang bertema Ekonomi Madani, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera yang dibentang pada 18 Oktober.

Kebajikan rakyat

"Sekiranya kita jujur dan tulus, cemuhan Robin Hood yang telah dilemparkan terhadap perdana menteri itu mencerminkan kedangkalan fikiran dan sempitnya pembacaan. Datuk Seri Anwar Ibrahim sentiasa istiqamah memperjuangkan nasib orang miskin."

Pada 2017, melalui Projek Pencerahan Selangor, karya besar Rawls ini diterjemah oleh Kerajaan Negeri dengan judul Keadilan Sebagai Kesaksamaan. Ia dijayakan oleh Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE).

Sering membahaskan pendekatan berimbang antara kebebasan, hak buruh, kebajikan rakyat dan kemajuan ekonomi, Dato' Menteri Besar cuba menerapkan kefahamannya dalam tempoh 15 atau 20 tahun lalu sewaktu bergelut dengan debat "negara minimalis".

"Dato' Seri sudah biasa dengan beberapa idea daripada buku-buku dalam ucapan belanjawan ini. Dari muda lagi, beliau memahami persoalan hak asasi, pasaran bebas, demokrasi, perancangan berpusat, sosialisme dan permasalahan idea-idea ini," jelas pegawai dasarnya Eekmal Ahmad.

"Bahawa campur tangan kerajaan itu perlu untuk meluruskan kepincangan pasar tetapi pendekatan interventionist itu pula janganlah sampai mengekang daya kreatif kuasa-kuasa pasar."

Sikap tersebut dipertegaskan lagi dengan mengambil pendekatan Franklin Roosevelt, presiden Amerika Syarikat yang berdepan zaman kemelestan ekonomi 1930-an hingga hujung Perang Dunia Kedua 1945.

Amirudin memetik kupasan ahli sains politik Isaiah Berlin dalam tulisannya "Roosevelt through European Eyes" (The Atlantic, Julai 1955): "Tatkala negara-negara demokratik dirundung kelemahan dan keputusasaan, Roosevelt menzahirkan keyakinan serta kekuatan."

Dalam makalah sama, Berlin juga memuji dasar kebajikan presiden itu yang berjaya melonjak semula harapan walau dasar itu pada awalnya tidak diterima ramai. Katanya, usaha Roosevelt membaiki mutu kehidupan rakyat malah mengukuhkan lagi ekonomi sehingga kini mudah diterima ramai.

Sesuai dengan pendekatan prokebajikan Iltizam Selangor Penyayang dan menolak tanggapan Robin Hood, Amirudin menyandarkan hujahnya pada karya penting Daron Acemoglu, pakar ekonomi yang meraih Hadiah Nobel tahun ini, Why Nations Fail: The Origins of Power, Prosperity and Poverty (2012).

"Negara berkembang apabila ia mengamalkan institusi yang inklusif, yang merangkumi, yang merangkul dan mendakap penyertaan segenap lapisan rakyat —institusi yang memberi kuasa kepada setiap rakyat untuk menyertai kehidupan politik dan ekonomi masyarakat.

"Di Selangor, kita percaya kepada ekonomi yang menyediakan peluang untuk semua, bukan hanya kepada golongan tertentu. Kami tekad untuk melaksanakan dasar-dasar yang membuka peluang kepada pendidikan, keusahawanan, dan pekerjaan untuk setiap individu tanpa mengira latar belakang," katanya.

"[Pendekatan] ini bukan sahaja perkara yang betul untuk dilakukan — ini adalah pemangkin kepada pertumbuhan yang mampan dan jangka panjang."

Kertas Putih

Dato’ Menteri Besar juga mengutip pandangan Acemoglu ketika mencadangkan Kertas Putih Kecerdasan Buatan (AI) yang akan dijadikan landasan meneroka manfaat teknologi terkini tanpa mengorbankan rakyat.

Dalam makalahnya "Harms of AI" (2021) , ahli ekonomi ini menggesa pemain industri agar lebih berhati-hati ketika memajukannya. "I argue that if AI continues to be deployed along its current trajectory and remains unregulated, it may produce various social, economic and political harms."

Kerisauan ini dikongsi beberapa ahli akademik terkenal seperti Shoshana Zuboff (The Age of Surveillance Capitalism, 2018) dan juga Jonathan Haidt (The Anxious Generation, 2024).

"The Anxious Generation daripada Haidt menggambarkan hasil kajian beliau yang selari dengan kerisauan Dato' Menteri Besar apabila kita kini melihat satu generasi yang tidak pernah hidup tanpa media sosial," kata setiausaha akhbarnya Jay Jay Denis.

Amirudin mengingatkan kesan buruk teknologi komunikasi, internet dan media sosial terhadap generasi muda itu termasuklah rasa tersisih, kurang tidur, tidak mampu memberi tumpuan dan ketagihan telefon.

Beliau menggariskan lapan perkara yang akan diteliti dalam Kertas Putih AI, dijangka dibentang tahun hadapan, antaranya: AI sebagai pelengkap kemahiran pekerja, keselamatan data pengguna, kesihatan mental dan peningkatan khidmat kerajaan.

Kesan kacau bilau seperti ini memang tidak dapat dielak akibat pesatnya kemajuan teknologi dan sains sejak Revolusi Industri (IR) 300 tahun dahulu. Malah gelombang teknologi maklumat hari ini disebut Revolusi Industri fasa keempat atau IR 4.0.

Amirudin memetik karya ahli ekonomi tersohor Joseph Schumpeter, Capitalism, Socialism and Democracy (1942): Proses ganggu gugat kreatif (proses ekonomi) ini memang fakta penting dalam sistem kapitalisme (pasaran terbuka)."

Terkenal juga melalui buku Small is Beautiful: Economics as If People Mattered (1973), beliau dianggap pemikir utama teori keusahawanan dan pembaharuan (inovasi) dalam menggerakkan ekonomi.

Pendiriannya dalam hal ini tidak jauh daripada saranan pakar ekonomi Mariana Mazzucato, awalnya dikenali melalui The Entrepreneurial State (2013), yang mengutamakan penciptaan nilai. Beliau mengulas lanjut dalam buku The Value of Everything (2018).

Ketika mengupas kegiatan ekonomi anak muda, Dato' Menteri Besar menyebut: "kita mungkin perlu melakukan suatu anjakan paradigma, dengan berusaha membesarkan kek ekonomi, sekali gus memastikan adanya penciptaan nilai seperti disebut Mazzucato."

Namun semua rujukan penting ini tidak akan jelas selagi tidak memahami dua kata yang menjadi tema Belanjawan Selangor 2025: cita sempurna. Ia diangkat daripada karya ahli sosiologi terkenal Syed Hussein Alatas, Cita Sempurna Warisan Sejarah (2000).

Beliau lebih dikenali melalui karya besarnya Mitos Peribumi Malas (1977), Rasuah: Sifat, Sebab dan Fungsi (1987) dan juga Intelektual Masyarakat Membangun (1977).

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.