SHAH ALAM, 26 NOV: Seramai 617,916 warga emas mendaftar sebagai ahli Skim Mesra Usia Emas (SMUE) sepanjang tahun ini, bagi melayakkan mereka mendapat baucar membeli-belah berjumlah RM150.
EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata jumlah tersebut meningkat berbanding 557,215 pendaftaran yang direkodkan sepanjang tahun lalu.
“Tempoh pemberian maksimum selama tiga bulan (dari tarikh kelahiran) dan ketika ini kita sedang beralih ke arah digital dan ini akan mempercepat lagi agihan baucar," katanya.
Menjawab soalan dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini, jelasnya, Selangor akan mengagihkan baucar Jom Shopping SMUE mengikut bulan kelahiran bermula tahun depan.
Sebelum ini, Anfaal berkata permohonan SMUE meningkat tiga kali ganda berikutan penambahan nilai baucar Jom Shopping daripada RM100 kepada RM150 yang dilaksana mulai tahun lalu.
Setakat Oktober, hampir 300,000 warga emas menerima baucar berkenaan sempena ulang tahun kelahiran.