ad
AGENSI

Sokong perluas kegunaan taman awam, perkasa aktiviti pembudayaan seni

26 Nov 2024, 12:30 AM
Sokong perluas kegunaan taman awam, perkasa aktiviti pembudayaan seni

SHAH ALAM, 26 NOV: Hasrat Selangor menaik taraf taman awam menjadi Taman Rakyat Madani menjadikan kemudahan itu tidak hanya tertumpu kepada aktiviti riadah sukan, tetapi juga tempat pembudayaan seni.

Penggiat seni, Fazleena Hishamuddin berkata kawasan berkenaan sesuai dijadikan tempat pembudayaan seni termasuk ruang mini untuk sesi bercerita buku kanak-kanak bagi menarik minat membaca.

“Sebagai penggiat seni budaya, saya memang menyokong usaha Selangor menjadikan taman awam lebih luas akses kepada masyarakat. Rugi jika kita tidak memanfaatkan sepenuhnya taman ini.

“Macam saya sendiri saya ada kelab buku (dinamakan) Kultus Kata yang telah beroperasi sejak Januari 2024. Kita cuba jadikan taman-taman awam sebagai ruang untuk diskusi buku,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Media Selangor pada Malam Baca Puisi PENA: Puisi Untuk Pyanhabib dan Pelancaran Buku Pyanhabib Yang Kami Sayangi di Rumah PENA, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menerusi Belanjawan 2025, Selangor memperuntuk RM6 juta untuk membina dan menaik taraf taman awam menjadi Taman Rakyat Madani di semua pihak berkuasa tempatan tahun depan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri juga akan memohon geran padanan RM6 juta dari Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan bagi tujuan tersebut.

Menurut Amirudin selain kemudahan asas seperti wi-fi, taman-taman itu boleh ditambah baik dengan kemudahan sukan, pusat kitar semula, ruang perbincangan, tempat untuk buskers, kawasan penganjuran tayangan filem serta muzik.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Belanjawan 2025 memaklumkan kerajaan akan terus menggembleng usaha memastikan persekitaran projek perumahan rakyat lebih manusiawi termasuk menaik taraf 48 Taman Rakyat Madani meliputi kawasan rekreasi di bandar dan pekan kecil.

Sementara itu, Penyelaras Festival Kartun Gen-Z, Shamsaimun Ezil berkata, Taman Rakyat Madani memudahkan anak seni untuk berkarya.

"Dengan adanya Taman Madani Rakyat akan menjadi tempat yang lebih holistik untuk anak seni berkarya dan pastinya pengumuman ini sudah lama dinantikan anak seni," katanya.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.