ad
AGENDA

Bah: Jumlah mangsa di Terengganu menurun takat 8 malam, Johor, Kelantan kekal

25 Nov 2024, 2:26 PM
Bah: Jumlah mangsa di Terengganu menurun takat 8 malam, Johor, Kelantan kekal

KUALA LUMPUR, 25 NOV: Situasi banjir di Terengganu dilaporkan semakin pulih apabila jumlah mangsa ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri itu berkurang manakala jumlah mangsa di Johor dan Kelantan tidak berubah setakat 8 malam ini.

Di TERENGGANU, jumlah mangsa di negeri itu berkurang kepada 51 orang daripada 13 keluarga pada malam ini berbanding 67 orang pada 8 pagi tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu (JPBNT) memaklumkan kesemua mangsa ditempatkan di dua PPS di daerah Marang iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Rawai dan Dewan Sivik Mercang.

Berdasarkan portal InfoBanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), paras air di dua lokasi di negeri itu iaitu Parit Utama di Padang Kemunting (F1), Kuala Nerus dan Sungai Nerus di Kampung Bukit, Setiu telah melepasi paras waspada.

Di KELANTAN, berdasarkan portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jumlah mangsa banjir di negeri itu kekal 76 orang daripada 19 keluarga dan ditempatkan di dua PPS iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beris Panchor, Bachok dan SK Gual To'Deh, Pasir Mas.

Sementara itu, portal InfoBanjir JPS memaklumkan paras Sungai Golok di Rantau Panjang menurun sedikit kepada 8.32 meter setakat 7.15 malam ini berbanding 8.5 meter pada 9.15 pagi namun masih melepasi paras amaran.

Di JOHOR, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata jumlah mangsa banjir di negeri itu kekal 28 orang daripada lapan keluarga dan masih berlindung di PPS Balai Raya Batu Badak, Segamat.

“Hanya satu kawasan di daerah itu yang terjejas iaitu Kampung Seberang Batu Badak. Selain itu, Sungai Tangkak di Kampung Seri Ma’amor dan Sungai Kesang di Telok Rimba, Tangkak berada pada paras amaran,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

-- BERNAMA

 

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.