ad
EXCO

Negeri tubuh pusat adaptasi iklim, tangani impak bencana

25 Nov 2024, 12:20 PM
Negeri tubuh pusat adaptasi iklim, tangani impak bencana

SHAH ALAM, 25 NOV: Pusat Adaptasi Perubahan Iklim Selangor akan ditubuhkan untuk memperkasa tindakan mitigasi dan penyesuaian menangani impak perubahan iklim.

EXCO alam sekitar berkata dijangka dilancarkan pada bulan depan, pusat berkenaan menjalankan penyelidikan berkaitan bencana dan impak perubahan iklim yang berlaku di Selangor seperti banjir, tanah runtuh dan kebakaran hutan.

Jelas Jamaliah Jamaluddin, pusat tersebut juga dilengkapi kepakaran dalam perancangan strategik ke arah penggunaan teknologi hijau dan tenaga boleh diperbaharui.

“Pusat ini akan turut menjalankan penyelidikan dan pembangunan berkaitan bencana dan risiko impak perubahan iklim yang berlaku di Selangor seperti banjir, tanah runtuh dan kebakaran hutan.

“Kerjasama erat antara sektor kerajaan, swasta, dan masyarakat awam adalah kunci utama ke arah masa depan yang lebih hijau dan seterusnya dalam usaha mencapai transformasi pembangunan yang mampan dan inklusif serta ke arah Negeri Sifar Karbon seawal 2050,” katanya.

Beliau ditemui pada sidang media selepas majlis pelancaran Dasar Perubahan Iklim Negeri Selangor hari ini yang dilancarkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Terdahulu Amirudin melancarkan Dasar Perubahan Iklim Negeri Selangor sebagai langkah strategik mendepani cabaran perubahan iklim yang melanda seluruh dunia.

Dasar ini menekankan pelbagai langkah, termasuk pengurangan pelepasan gas rumah kaca, pembangunan sektor tenaga boleh baharu, perlindungan biodiversiti serta meningkatkan daya tahan negeri terhadap bencana alam seperti banjir dan tanah runtuh.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.