SHAH ALAM, 25 NOV: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor berkenan berangkat ke Multaqa Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj di Dewan Jubli Perak di bangunan pentadbiran negeri, hari ini.
Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj turut menyempurnakan gimik pelancaran Jurnal Fatwa dan Falak Selangor (JUFFAS), Sistem Taudhih Al-Ahkam dan Sistem e-Falak Selangor oleh Jabatan Mufti negeri.
Menurut Mufti Selangor Dato' Dr Anhar Opir, aplikasi JUFFAS berfungsi sebagai jurnal akademik dan menyedia ruang kepada cendekiawan untuk berkongsi pendapat dan hujah bagi meningkatkan wacana keilmuwan.
“Aplikasi JUFFAS mempunyai tiga pilihan bahasa iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab selain jurnal akan diterbitkan setiap dua tahun sekali.
“Sistem Taudhih Al-Ahkam pula menawarkan perkhidmatan pengurusan soal jawab agama manakala Sistem e-Falak berfungsi membantu menentukan arah kiblat dan waktu solat yang tepat,” katanya.
Multaqa turut dihadiri Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim dan EXCO Agama Dr Fahmi Ngah.
Program berkenaan diakhiri dengan syarahan utama yang disampaikan pendakwah terkenal Habib Ali Zaenal Abidin bertajuk 'Sejarah Ilmu Tasawuf dan Amalan Tasawuf di Alam Melayu dan Selangor Darul Ehsan'.
[caption id="attachment_674759" align="aligncenter" width="1347"] Antara peserta Majlis Multaqa Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj: Ilmu Tasawuf merungkai Masalah Ummah di Dewan Jubli Perak pada 25 November 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR[/caption]