ad
AGENDA

Lelaki heret kucing guna tali diikat leher ditahan

25 Nov 2024, 10:13 AM
Lelaki heret kucing guna tali diikat leher ditahan

KUALA LUMPUR, 25 NOV: Polis menahan seorang lelaki di Jalan Klang Lama semalam kerana disyaki melakukan penganiayaan terhadap seekor kucing.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata lelaki warga tempatan berusia 43 tahun itu ditahan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah (D9), Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields di kediamannya pada 6.10 petang.

“Satu kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan. Permohonan reman dilakukan di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah untuk melengkapkan siasatan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian ini diminta menghubungi hotline polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau Hotline polis Brickfields di talian 03-22979222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini tular di media sosial, video yang memaparkan tindakan kejam seorang individu mengheret seekor kucing menggunakan tali yang diikat pada leher haiwan itu.

Video berdurasi sembilan saat itu menimbulkan pelbagai reaksi orang ramai dan turut mendapat perhatian Presiden Persatuan Haiwan Malaysia Arie Dwi Andika yang menawarkan ganjaran RM3,000 kepada saksi utama.

Selain itu, Rusdi berkata suspek kes bunuh ibu kandung yang menyimpan mayat mangsa di dalam peti sejuk beku akan dituduh di Mahkamah Kuala Lumpur esok.

“Sebanyak 13 percakapan saksi dirakam untuk membantu dalam siasatan kes ini. Kertas siasatan telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara hari ini dan bersetuju untuk pertuduhan ke atas suspek di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan perbuatan lelaki berusia 53 tahun itu terbongkar selepas kediamannya di Taman OUG di sini diperiksa pasukan polis susulan suspek menghubungi talian kecemasan kerana tidak sihat.

Pasukan yang tiba dimaklumkan mengenai mayat ibunya disimpan dalam peti sejuk beku yang disyaki dibunuh pada 2021.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.