ad
AGENDA

Wanita parah di kepala akibat dihempap pokok tumbang

25 Nov 2024, 9:04 AM
Wanita parah di kepala akibat dihempap pokok tumbang

CHUKAI, 25 NOV: Petugas wanita sebuah universiti tempatan parah di kepala selepas dihempap pokok di Bukit Kemuning, Kijal, di sini kira-kira 9 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Hanyan Ramlan berkata kejadian berlaku ketika mangsa yang berusia 35 tahun sedang mendaki bukit berkenaan bersama 57 pelajar dan tujuh petugas lain.

"Difahamkan mangsa bersama petugas universiti serta pelajar bidang geologi naik ke Bukit Kemuning untuk menjalankan kerja dan kajian lapangan.

"Ketika pendakian, mangsa ditimpa pokok besar yang tumbang menyebabkannya parah di kepala," katanya ketika dihubungi hari ini.

Hanyan berkata mangsa dikejarkan ke Hospital Kemaman oleh ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk rawatan lanjut dan difahamkan kini sedang ditidurkan.

"Keluarga mangsa telah dimaklumkan dan suami mangsa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kemaman," katanya.

Susulan itu, Hanyan mengingatkan orang ramai supaya tidak menjalankan sebarang aktiviti rekreasi di kawasan Taman Eko Rimba sepanjang musim tengkujuh.

"Kawasan Taman Eko Rimba termasuk laluan pendakian dan aktiviti rekreasi di hutan simpan kekal negeri Terengganu adalah tidak dibenarkan sepanjang musim tengkujuh," katanya.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.