ad
AGENDA

Tiga sekeluarga maut, tiga cedera kemalangan dua kenderaan

25 Nov 2024, 6:07 AM
Tiga sekeluarga maut, tiga cedera kemalangan dua kenderaan

BANDAR PERMAISURI, 25 NOV: Tiga beranak maut manakala seorang lagi parah apabila kereta jenis Perodua Axia dinaiki mereka terlibat kemalangan dengan sebuah pacuan empat roda di Kampung Sungai Lerek, Kilometer 53 Jalan Persekutuan Kuala Terengganu–Kota Bharu, di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Setiu Supt Mohd Zain Mat Dris berkata mereka yang terkorban dalam kemalangan pada 4.50 pagi itu ialah suami isteri Kamarudin Ibrahim, 55, dan Maimunah Mat Isa, 54, serta anak mereka Nur Ardieana Kamarudin, 30, yang memandu kenderaan itu.

“Maimunah dan Nur Ardieana maut di tempat kejadian manakala Kamarudin disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Setiu.

“Seorang lagi anak pasangan terbabit Nur Azwa Shamimi Kamarudin, 21, yang duduk di kerusi penumpang belakang sebelah kiri parah manakala pemandu dan seorang penumpang Toyota Hilux cedera ringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kemalangan berpunca apabila Toyota Hilux dari arah Kota Bharu, Kelantan menghala ke Pasar Borong Gong Pauh, Kuala Terengganu hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta dinaiki empat beranak itu.

“Ketika kejadian, empat beranak berkenaan dalam perjalanan dari arah Kuala Terengganu menuju ke Jalan Telipot, Kota Bharu.

“Kesemua mangsa yang terkorban dihantar untuk bedah siasat di unit Forensik Hospital Setiu manakala yang cedera turut dihantar ke hospital sama,” katanya.

Mohd Zain berkata pemandu Toyota Hilux berusia 24 tahun yang bekerja sebagai penjual sayur ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat menurut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.