ad
AGENDA

PM tegaskan tidak guna dana syarikat swasta biaya lawatan ke empat negara

25 Nov 2024, 5:53 AM
PM tegaskan tidak guna dana syarikat swasta biaya lawatan ke empat negara

SHAH ALAM, 25 NOV: Perdana Menteri menegaskan Kerajaan tidak menggunakan dana syarikat swasta bagi membiayai lawatan rasminya ke empat negara, baru-baru ini.

Datuk Seri Anwar Ibrahim sebaliknya menjelaskan, Kerajaan membelanjakan RM1.6 juta, menggunakan dana Kerajaan bagi menampung kos penerbangan itu.

“Saya tidak guna dana syarikat swasta. Kerajaan guna penerbangan (Malaysia Airlines) MAS untuk lawatan empat negara dengan kos RM1.6 juta. Ini guna wang Kerajaan sepenuhnya.

“Baki tempat duduk ditawarkan kepada syarikat swasta yang sememangnya akan pergi ke negara-negara tersebut untuk tujuan pelaburan atau usaha sama. Syarikat ini bayar kos masing-masing berjumlah RM4.5 juta,” katanya menerusi laman X, hari ini.

Menurutnya jika menggunakan jet Eksekutif Kerajaan, kos perlu ditanggung Kerajaan adalah RM2.5 juta untuk ke empat negara.

“Namun dengan perkongsian ini, kos untuk Kerajaan hanya RM1.6 juta.

“Saya ulang, Kerajaan tidak guna dana syarikat swasta. Tiada perselisihan kepentingan. Usah terperangkap dalam fitnah zaman edan,” katanya.

Anwar sewaktu sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat minggu lalu memaklumkan kos sekitar 70 hingga 80 peratus yang dibelanjakan membabitkan perjalanan dan lawatan rasminya ke empat negara dibayar oleh syarikat swasta yang turut mengikuti urusan itu.

Minggu lalu, Anwar selamat tiba di tanah air selepas mengadakan lawatan ke Mesir, Arab Saudi, Peru dan Brazil bermula 9 November.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.