ad
AGENDA

Sultan Selangor zahir dukacita tindakan pihak pertikai fatwa

25 Nov 2024, 5:45 AM
Sultan Selangor zahir dukacita tindakan pihak pertikai fatwa
Sultan Selangor zahir dukacita tindakan pihak pertikai fatwa
Sultan Selangor zahir dukacita tindakan pihak pertikai fatwa

SHAH ALAM, 25 NOV: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menzahirkan rasa dukacita terhadap tindakan umat Islam yang mempertikai fatwa dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dalam titah Baginda menegaskan proses pembuatan fatwa dilakukan dengan begitu teliti, mengambil pandangan pelbagai pihak termasuk pakar hukum syarak sebelum diwarta.

"Oleh itu, Beta menyeru agar segelintir umat Islam yang sering mempersoalkan tentang fatwa untuk memahami terlebih dahulu tentang sesuatu fatwa yang dikeluarkan.

“(Selain itu) merujuk kepada pihak berkuasa agama sekiranya terdapat apa-apa kekeliruan atau persoalan yang berbangkit," titah Baginda ketika merasmikan Multaqa Sultan Sharafuddin Idris Shah, hari ini.

Multaqa yang mengangkat tema 'Ilmu Tasawwuf Merungkai Masalah Ummah' turut dihadiri Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Dewan Jubli Perak, bangunan pentadbiran negeri di sini.

[caption id="attachment_674758" align="aligncenter" width="991"] Habib Ali Zaenal Abdin Abu Bakar Al Hamid menyampaikan ceramah agama ketika Majlis Multaqa Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj: Ilmu Tasawuf Merungkai Masalah Ummah di Dewan Jubli Perak pada 25 November 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR[/caption]

Sultan Sharafuddin mengambil maklum cabaran yang menimbulkan kerisauan terhadap pengamalan tasawwuf dan tarekat adalah apabila belajar daripada guru yang tidak berkelayakan dan tiada tauliah.

Baginda bertitah, penyelesaian terhadap isu ini adalah dengan memberi kefahaman yang betul kepada masyarakat melalui usaha agensi agama terlibat, dengan pengajaran Islam yang sebenar.

“Pihak Jabatan Agama Islam Selangor perlu memastikan semua penceramah yang menyampaikan pengajaran Islam terutama berkaitan akidah, syariah, pengajaran ilmu tasawwuf serta pengamalan tarekat mempunyai tauliah yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Tauliah Majlis Agama Islam Selangor,” titah Baginda.

Justeru, Sultan Sharafuddin mencadangkan agar diwujudkan panduan, silibus khas atau peraturan khusus mengenai pengamalan tasawwuf dan tarekat di Selangor.

Baginda menyokong tindakan proaktif pihak berkuasa agama melalui pewujudan undang-undang, pewartaan fatwa, enakmen dan panduan ajaran tasawwuf dan tarekat di Selangor.

"Tindakan penguatkuasaan juga perlu dipertingkatkan bagi mengekang fahaman ekstrem dan penularan ideologi sesat yang akan mencemar nama baik Islam di Selangor khususnya," titah Baginda.

[caption id="attachment_674759" align="aligncenter" width="1354"] Antara peserta Majlis Multaqa Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj: Ilmu Tasawuf Merungkai Masalah Ummah di Dewan Jubli Perak pada 25 November 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR[/caption]

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.