ad
EXCO

DNS: Sektor elektrik, elektronik antara tumpuan IDRISS

25 Nov 2024, 4:10 AM
DNS: Sektor elektrik, elektronik antara tumpuan IDRISS

SHAH ALAM, 25 NOV: Sektor elektrik dan elektronik antara tumpuan dalam projek Wilayah Pembangunan Bersepadu di Selangor Selatan (IDRISS), demikian persidangan Dewan Negeri Selangor diberitahu hari ini.

EXCO Pelaburan Ng Sze Han berkata sektor lain adalah perkhidmatan pergudangan, industri farmaseutikal, pembuatan makanan, pembuatan mesin dan peralatan serta aeroangkasa.

"Antara langkah yang diambil oleh Kerajaan Negeri untuk menarik pelabur asing menyertai IDRISS adalah melalui pelaksanaan program Ekspo Taman Perindustrian Selangor (SPARK).

"Selain itu, kita turut mempromosi melalui misi lawatan pelaburan ke luar negara dan penerbitan bahan promosi dalam media cetak mahupun elektronik," katanya  menjawab pertanyaan wakil rakyat Bukit Lanjan Pua Pei Ling berhubung pembangunan serantau bersepadu selatan Selangor.

Bagi menggalakkan penglibatan pelabur dalam pembangunan IDRISS, Sze Han berkata Kerajaan Negeri turut menyediakan insentif seperti skim premium khas dan bayaran ansuran caj pemajuan tanpa faedah.

"Selain itu, turut ditawarkan insentif potongan 50 peratus kadar cukai bagi tanah kosong dan bangunan kosong dalam tempoh tiga tahun dan pengecualian bayaran lesen perniagaan bagi tempoh lima tahun," katanya.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata IDRISS di Sepang dan Kuala Langat bakal membuka hab pelaburan dan kawasan perindustrian baharu di negeri ini di bawah RS-1.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.