KUALA SELANGOR, 24 NOV: Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) menyahut hasrat negeri membangunkan sektor kecerdasan buatan (AI) menerusi persiapan dalam sumber daya manusia.
Ketua pegawai eksekutifnya Mohd Ramali Abu Bakar berkata ketika ini STDC sudah menawarkan mata pelajaran AI menerusi kursus teknologi maklumat sejak tahun lalu.
“Kita sudah terapkan mata pelajaran AI sebagai subjek tambahan dalam kursus teknologi maklumat sejak tahun lepas. Sekarang kita ada kira-kira 200 pelajar berkemahiran.
“Mereka ini akan disiapkan sebagai sumber manusia untuk membangunkan bidang AI di Selangor seperti yang direncana Kerajaan Negeri,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas hadir majlis penutup program 'bootcamp' Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) belia Selangor di STDC cawangan Kuala Selangor di sini, semalam.
Dalam pada itu, Mohd Ramali memuji cadangan Kerajaan Negeri untuk membangunkan sektor AI selain menyifatkan langkah berkenaan bakal memberi manfaat jangka masa panjang.
“Ini merupakan langkah yang sangat bagus kerana AI juga semakin mendapat tempat terutamanya dalam bidang pendidikan. Kita perlu bersedia mendepani cabaran AI khususnya di peringkat global,” katanya.
Pada pembentangan Belanjawan Negeri 2025, Dato’ Menteri Besar berkata Selangor menyedia peruntukan RM5 juta bagi merealisasi inisiatif AI membabitkan pembangunan Pusat Inkubator AI dan Inisiatif AI Trailblazers.
Selain itu, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Selangor akan mengemukakan kertas putih AI merangkumi usaha meningkatkan kecekapan khidmat kerajaan dalam sidang Dewan Negeri tahun depan.