ad
AGENDA

Jumlah mangsa banjir di Terengganu, Johor, Kelantan kekal takat 8 pagi

25 Nov 2024, 3:11 AM
Jumlah mangsa banjir di Terengganu, Johor, Kelantan kekal takat 8 pagi

KUALA LUMPUR, 25 NOV: Situasi banjir di Terengganu, Johor dan Kelantan tidak menunjukkan sebarang perubahan setakat 8 pagi tadi dengan jumlah mangsa kekal 171 orang.

Di TERENGGANU, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Banjir Negeri Terengganu (JBPNT) memaklumkan bahawa jumlah mangsa kekal 67 orang daripada 15 keluarga yang berlindung di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di dua daerah.

Daripada jumlah itu, 57 mangsa daripada 13 keluarga berada di dua PPS iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang Rawai dan Dewan Sivik Merchang di Marang manakala di Dungun, 10 mangsa daripada dua keluarga di PPS Balairaya Alor Mak Bah.

Sementara itu berdasarkan portal InfoBanjir, paras air sungai di Parit Utama di Padang Kemunting (F1), Kuala Nerus; Sungai Terengganu di Rumah Pam Pulau Bahagia (F1), Kuala Terengganu dan Sungai Nerus di Kampung Bukit, Setiu telah melebihi tahap waspada.

Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir kekal 76 orang melibatkan 19 keluarga di dua PPS iaitu PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beris Panchor, Bachok dengan 44 mangsa daripada 12 keluarga dan SK Gual To'Deh, Pasir Mas, 32 orang daripada tujuh keluarga.

Portal InfoBanjir memaklumkan, paras Sungai Golok di Rantau Panjang meningkat sedikit kepada 8.5 meter setakat 9.15 pagi hari ini, berbanding 8.75 meter malam tadi, melepasi paras amaran lapan meter.

Di JOHOR, jumlah mangsa kekal 28 orang daripada lapan keluarga dari Kampung Seberang Batu Badak dan berlindung di PPS Balai Raya Batu Badak di daerah Segamat.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani menerusi satu kenyataan berkata lapan daerah di negeri itu diramalkan cerah kecuali Mersing dan Kulai yang dijangka mendung pagi ini.

Menurut portal InfoBanjir, paras air sungai di Sungai Muar di Buloh Kasap dan Jeti Kampung Tekam, Segamat telah melebihi tahap waspada manakala Sungai Kesang di Telok Rimba, Tangkak, Sungai Tangkak di Kampung Seri Ma'amor, Tangkak dan Sungai Paya Dato, Mersing melebihi tahap amaran.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.