ad
BERITA UTAMA

Bukan dasar Robin Hood, kaya miskin terima manfaat

25 Nov 2024, 1:30 AM
Bukan dasar Robin Hood, kaya miskin terima manfaat

Oleh Amirudin Shari

"Dan Kami tidak menciptakan langit dan bumi dan segala apa yang ada di antara keduanya dengan main-main.” (Al-Anbiya’: 17)

Ayat itu yang seharusnya menyedarkan kita bahawa setiap yang dijadikan itu tidaklah sia-sia. Setiap satunya ada manfaatnya. Setiap satu kejadian itu ada matlamatnya. Apatah lagi, penciptaan manusia sebagai 'KhalifatulLahi fil ardhi', khalifah di muka bumi.

Oleh itu, kita wajar menginsafi, betapa beratnya amanah yang dipikul oleh kita untuk membugar kebaikan serata-rata untuk menatijahkan kebaikan dan mencegah kemudaratan.

Berasaskan matlamat atau maqasid sebeginilah, kita menggarap Belanjawan Selangor 2025. Kita tidak mahu dokumen mustahak ini sekadar seumpama manual mekanikal, tiada roh, tiada jiwa. Belanjawan Negeri seharusnya dipandu 'value-based principles', prinsip berasaskan nilai, sayugia menjadi wahana ampuh terbaik bagi menangani kesenjangan ekonomi, keadilan serta kesaksamaaan dan isu masyarakat majmuk.

Justeru, dokumen polisi seperti belanjawan ini adalah suatu manifestasi tanggungjawab kita bersama untuk membina Selangor di mana setiap rakyat mempunyai peluang untuk maju, untuk makmur dan untuk bahagia.

Ini mengingatkan saya ketika masih menjadi aktivis menghadam tulisan John Rawls berjudul 'Justice as Fairness', Keadilan sebagai Kesaksamaan. Mahu tidak mahu keadilan dan kesaksamaan adalah, meminjam istilah yang dipopularkan Almarhum Syed Hussein Alatas, suatu ‘cita sempurna’ bagi saya ketika menggarap dokumen ini.

Makanya, tekad tersebut dituangkan ke dalam belanjawan untuk memajukan kesejahteraan masyarakat secara menyeluruh termasuklah memberi perhatian khusus kepada golongan rentan.

Kami percaya bahawa kemajuan sebenar tidak diukur semata-mata dengan pertumbuhan ekonomi, tetapi ia juga diukur dengan sejauh mana semua rakyat Selangor dapat merasai kekayaan negeri.

Adalah tanggungjawab kami untuk merangka dasar dan melaksanakan inisiatif yang bukan sahaja menggalakkan pertumbuhan tetapi melakukannya secara inklusif dan mampan, memastikan tiada yang tertinggal atau dinafikan.

Kesaksamaan

Dalam 'Justice as Fairness', Rawls menggariskan beberapa asas sebagai prinsip iaitu prinsip kebebasan atau 'liberty principle' dan keduanya prinsip kesaksamaan ataupun 'equality principle'. Pada pandangan Rawls, kita semua menikmati hak serta peluang yang sama.

Namun ada ketika, suatu tindakan atau kebijakan harus dirumus untuk memastikan mereka yang tertinggal atau diabaikan diangkat atau didukung oleh kerajaan bagi memastikan mereka menikmati kehidupan yang bermaruah. Inilah landasan utama kepada prinsip kedua yang saya sebut tadi iaitu 'equality principle'.

Untuk memenuhi cita-cita kesaksamaan tersebut, Rawls menukilkan pula suatu pedoman dikenali sebagai prinsip perbezaan atau 'difference principle' bagi memperincikan lagi prasyarat kepada prinsip kesaksamaan tersebut. Pedoman tersebut menyatakan ketidaksamaan hanya boleh diterima jika ia memberi manfaat kepada golongan yang paling kurang bernasib baik.

Oleh itu, kita boleh lihat atau semak, sama ada belanjawan yang saya bentangkan sebelum ini ataupun belanjawan kali ini, memberi keutamaan kepada rakyat yang memerlukan atau tidak.

Prinsip ini sejajar cita-cita Belanjawan Madani 2025 yang diumumkan perdana menteri tempoh hari.

Sekiranya kita jujur dan tulus, cemuhan Robin Hood yang dilemparkan terhadap perdana menteri mencerminkan kedangkalan fikiran dan sempitnya pembacaan. Datuk Seri Anwar Ibrahim sentiasa istiqamah memperjuangkan nasib orang miskin.

'His burning desire to help the poor' bagaikan api yang menyala-nya. Semangat menyala-nyala itulah yang membentuk acuan waja kami untuk terus menolong golongan mustadh'afin.

Berdepan pergolakan di Ukraine serta keganasan regim Israel di Timur Tengah dan ketegangan antara Amerika Syarikat dan China, saya berfikiran amatlah mustahak untuk kita cermat memerhati perkembangan baru di sekeliling kita.

Waima demikian, Selangor perlu berkeyakinan dan menzahirkan izzah, berkongsi kekuatan dengan negeri-negeri lain serta melebarkan layar kejayaan di rantau Asia Tenggara.

Bawah tempurung

Isaiah Berlin pernah menulis dalam majalah 'The Atlantic' edisi Julai 1955 terjemahannya: Cahaya yang masih bersinar dalam kegelapan sekarang ini adalah pentadbiran Tuan Roosevelt dan kebijakan The New Deal di Amerika Syarikat.

Tatkala negara-negara demokratik dirundung kelemahan dan keputusan, Tuan Roosevelt menzahirkan keyakinan serta kekuatan.

Saya menukilkan tulisan Isaiah Berlin ini bukan untuk memuji Roosevelt. Iktibar yang saya mahu saya kongsikan adalah pendekatan untuk tidak terperangkap dengan pendekatan ‘insulationist’, mengasingkan diri tidak mahu berbaur dengan masyarakat atau negara lain.

Manakala kita mendepani cabaran-cabaran yang saya sebutkan tadi, kita tidak boleh terpuruk ke dalam bagaikan katak di bawah tempurung.

Tatkala kita merangka laluan untuk tahun fiskal yang akan datang, penting untuk merenung semula landskap ekonomi global, serantau, nasional, dan negeri, yang semuanya mempengaruhi prospek ekonomi Selangor.

Menurut Bank Dunia, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global berkembang sederhana pada kadar 2.6 peratus pada 2024 dan dijangka berkembang ke kadar 2.7 peratus pada tahun 2025-2026.

Menurut Laporan 'World Economic Outlook; Policy Pivot, Rising Threats' bertarikh 22 Oktober 2024, kadar inflasi global dijangka berada pada kadar 4.3 peratus.

Menurut Bank Dunia, China, ekonomi kedua terbesar di dunia, mengalami pertumbuhan yang lebih perlahan daripada jangkaan dengan kadar 4.8 peratus pada 2025.

Kelembapan ini sebahagiannya disebabkan oleh pemulihan tidak sekata pascapandemik, cabaran sektor hartanah yang berterusan dan permintaan global yang lebih lemah.

Kelembapan ekonomi China memberi kesan kepada Asia termasuk Malaysia. Sebagai salah satu rakan dagang terbesar Malaysia, permintaan China yang berkurangan untuk eksport terutama dalam sektor elektronik dan komoditi, menimbulkan cabaran kepada ekonomi serantau.

Kita juga harus bersedia dengan kemungkinan pelaksanaan tarif yang akan dikenakan Amerika Syarikat ke atas barangan China. Justeru dengan perkembangan ini, Bank Pembangunan Asia (ADB) menjangka ekonomi rantau ini dijangka berkembang pada kadar 4.7 peratus pada 2025.

Ucapan Dato' Menteri Besar ini dipetik daripada teks Belanjawan Selangor 2025.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.