SHAH ALAM, 24 NOV: Hasrat Selangor menaik taraf taman awam menjadi Taman Rakyat Madani dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk ruang perbincangan dipuji.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim berkata kemudahan berkenaan menjadi medan terbaik untuk membentuk komuniti yang positif dan ekspresif.
“Ini adalah suatu yang saya sambut baik dan kita puji inisiatif yang digerakkan Selangor. Ruang awam di komuniti, taman-taman yang mungkin selama ini terbiar dibangun dan dimanfaatkan.
“Contohnya untuk tujuan aktiviti golongan muda, diskusi buku, baca puisi, medan-medan ekspresi yang tidak menelan kos akan bentuk satu generasi yang lebih ekspresif, kritikal dan tentu sekali lebih positif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Media Selangor pada Malam Baca Puisi PENA: Puisi Untuk Pyanhabib dan Pelancaran Buku Pyanhabib Yang Kami Sayangi di Rumah PENA, Kuala Lumpur kelmarin.
[caption id="attachment_674661" align="aligncenter" width="813"] Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim (tengah) merasmikan Malam Baca Puisi PENA: Puisi Untuk Pyanhabib dan Pelancaran Buku Pyanhabib Yang Kami Sayangi di Rumah PENA, Kuala Lumpur pada 22 November 2024. Foto Facebook Persatuan Penulis Nasional Malaysia - PENA[/caption]
Menerusi Belanjawan 2025, Selangor memperuntuk RM6 juta untuk membina dan menaik taraf taman awam menjadi Taman Rakyat Madani di semua pihak berkuasa tempatan tahun depan.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri juga akan memohon geran padanan RM6 juta dari Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan bagi tujuan tersebut.
Menurut Amirudin selain kemudahan asas seperti wi-fi, taman-taman itu boleh ditambah baik dengan kemudahan sukan, pusat kitar semula, ruang perbincangan, tempat untuk buskers, kawasan penganjuran tayangan filem serta muzik.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Belanjawan 2025 memaklumkan kerajaan akan terus menggembleng usaha memastikan persekitaran projek perumahan rakyat lebih manusiawi termasuk menaiktaraf 48 Taman Rakyat Madani meliputi kawasan rekreasi di bandar dan pekan kecil.