ad
AGENSI

TVET makin dapat sambutan, pelajar didedah sektor ditawar STDC

24 Nov 2024, 9:00 AM
TVET makin dapat sambutan, pelajar didedah sektor ditawar STDC
TVET makin dapat sambutan, pelajar didedah sektor ditawar STDC

KUALA SELANGOR, 24 NOV: Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) semakin mendapat sambutan di Selangor dengan lebih 95 peratus kapasiti penuh di semua sekolah.

Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembangunan Murid di Jabatan Pendidikan Negeri Selangor Yusaini Salleh berkata peningkatan pelajar dalam bidang itu mula ketara sejak 2018.

“Di peringkat nasional pula, kita melihat peningkatan pelajar dalam aliran TVET bermula sejak 2018 dengan hanya sekitar empat peratus dan pada tahun lalu merekodkan 10.5 peratus.

“Jika di Selangor, lebih 95 peratus sekolah yang tawarkan TVET semuanya sudah penuh. Kekangan kita adalah dari sudut penyediaan infrastruktur kerana tawaran adalah terhad,” kata Yusaini Salleh.

Terdahulu beliau merasmikan majlis penutup Program Bootcamp TVET Belia Selangor di Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) cawangan Kuala Selangor di sini, hari ini.

[caption id="attachment_674676" align="alignnone" width="857"] Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan murid Jabatan Pendidikan Selangor, Yusaini Salleh (kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC), Mohd Ramali Abu Bakar (kiri) ditemui media selepas program Bootcamp Tvet Belia Selangor: Membentuk Tenaga Kerja Masa Hadapan di Auditorium Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC) Kampus Kuala Selangor pada 24 November 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR[/caption]

Program sulung anjuran STDC dan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor itu disertai 160 pelajar terpilih dari empat daerah iaitu Kuala Langat, Hulu Langat, Hulu Selangor dan Sepang.

Menurut Yusaini, peserta didedahkan dengan pengalaman menceburi semua sektor yang ditawarkan di STDC selama tiga hari dua malam bagi mencambah minat pelajar dalam TVET.

“Ini merupakan antara usaha kita semarakkan lagi minat pelajar dalam bidang TVET. Kita mahu pelajar ini terus memilih bidang TVET selepas tamat persekolahan nanti,” katanya.

Belanjawan Selangor 2025 terus mendukung pembangunan pendidikan TVET dengan peruntukan RM13.65 juta menerusi Program Inisiatif Kemahiran Teknikal dan IKHTISAS Smart Selangor (IKTISASS).

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.