ad
AGENDA

Individu kutip zakat tanpa tauliah berdepan penjara dua tahun, denda

23 Nov 2024, 9:50 AM
Individu kutip zakat tanpa tauliah berdepan penjara dua tahun, denda

SHAH ALAM, 23 NOV: Individu mengutip zakat tanpa tauliah di negeri ini berdepan tindakan tegas termasuk penjara sehingga dua tahun dan denda RM3,000 jika sabit kesalahan.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berkata penegasan itu susulan tindakan segelintir pihak menggunakan masjid atau surau dengan menamakan kutipan infak mereka sebagai zakat.

“Perbuatan sedemikian adalah suatu kesalahan dan penderma yang menderma atas niat zakat adalah tidak sah dan tidak melepaskan kewajipan zakatnya.

“Pihak pentadbir masjid dan surau turut boleh dikenakan tindakan mengikut undang-undang kerana melakukan kesalahan dengan menyebabkan perbuatan mengutip zakat tanpa tauliah dilakukan oleh individu atau pihak terbabit,” kata Dato' Mohd Shahzihan Ahmad dalam kenyataan.

Menurut beliau, arahan pematuhan dan langkah kawalan berhubung kutipan zakat, wakaf dan infak di masjid dan surau sudah dikeluarkan melalui surat pekeliling bertarikh 11 November lalu.

Mohd Shahzihan juga berharap semua pihak dapat memberi sokongan dan kerjasama penuh terhadap peraturan yang dikuat kuasa demi kemaslahatan agama serta masyarakat.

Menurutnya, umat Islam juga diseru melaporkan kepada Jais apa sahaja perbuatan yang disyaki melanggar ketetapan dalam urusan bayaran dan pengagihan zakat di Selangor.

“Kesalahan ini bukan sahaja mengundang implikasi undang-undang dan ketetapan hukum, bahkan akan menyebabkan berlakunya ketirisan dan kekangan dalam menjamin kemampanan rohani dan sosioekonomi umat Islam,” katanya.

Untuk rekod, Seksyen 37 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 memperuntukan denda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan memungut zakat tanpa tauliah.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.