SHAH ALAM, 23 NOV: Kerajaan Negeri akan menyenarai hitam pengarah dan lembaga pengarah syarikat pemaju yang gagal menyiapkan projek perumahan.
EXCO Perumahan Datuk Borhan Aman Shah berkata jumlah individu terbabit tidak ramai tetapi tindakan itu bagi memastikan pembangunan perumahan di Selangor lebih teratur dan berkesan.
"Saya tidak mahu sebut syarikat-syarikat ini tetapi masalah bila dia buka syarikat lain namun pengarahnya masih sama. Oleh itu, kita bukan ambil nama syarikat sahaja namun lihat juga lembaga pengarahnya.
"Kerajaan Negeri bukan hendak menghalang pemaju tetapi kita ambil pendekatan situasi menang-menang yang mana berjumpa dengan semua pemaju sebelum mempersetujui apa sahaja keputusan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Hari Anugerah Laman Hijau Strata Selangor 2024 di sini, hari ini.
[caption id="attachment_674536" align="alignnone" width="826"] EXCO Perumahan dan Kebudayaan Borhan Aman Shah (tengah) bergambar dengan peserta pada Majlis Anugerah Laman Hijau Selangor 2024 di Midland Convention Centre, Seksyen 7, Shah Alam pada 23 November 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]
Terdahulu, Kebun Komuniti Permai Putera memenangi tempat pertama Anugerah Laman Hijau Strata 2024 selain Anugerah Khas Pemberdayaan Ekonomi. Kebun Komuniti USJ14 menerima dua anugerah khas iaitu Anugerah Khas Bandar Berdaya Huni dan Anugerah Khas Inovasi Laman Hijau.
Manakala Anugerah Khas Komuniti Ceria diberikan kepada Kebun Komuniti Balai Bomba Pandan Indah dan Majlis Bandaraya Subang Jaya pula menerima Anugerah Khas Pihak Berkuasa Tempatan Terbaik.
Tambah Borhan, hanya dua atau 0.01 peratus Rumah Selangorku dikategori sebagai projek 'sakit' ekoran kegagalan pemaju menyiapkan perumahan itu dalam waktu ditetapkan.
Beliau berkata antara punca kegagalan pemaju swasta menyiapkan projek tersebut berikutan masalah kewangan yang dihadapi.
"Kita ada lebih 270 projek dijenamakan sebagai Rumah Selangorku dan salah satu yang belum siap di Morib. Harus diingat, Rumah Selangorku ini bukanlah dibina Kerajaan Negeri sebaliknya pemaju swasta tetapi kita dilihat gagal akibat kegagalan mereka.
"Namun, Kerajaan Negeri tidak lepas tangan dan kita akan campur tangan isu perumahan di Morib supaya ia dapat diselesaikan. Kita lihat kewangan pemaju tidak mampu tetapi projek ini masih boleh diteruskan.
"Ada syarikat yang sanggup membantu tetapi mereka perlu mengikut proses ditetapkan. Oleh itu, kita akan adakan pertemuan antara syarikat, wakil pembeli termasuk Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Lembaga Perumahan Hartanah Selangor supaya isu ini selesai," katanya.
September lalu, Borhan memaklumkan Kerajaan Negeri bercadang menjenamakan semula Rumah Selangorku mengikut ketetapan dasar perumahan bagi mengelak tanggapan negatif jika projek gagal disiapkan pemaju.
Jelasnya, ramai beranggapan semua projek perumahan mampu milik itu dimiliki dan dibina sepenuhnya negeri, sedangkan ia diuruskan pemaju swasta.