ad
AGENDA

PM: Politi stabil, dasar jelas faktor kejayaan Kerajaan Madani

23 Nov 2024, 5:57 AM
PM: Politi stabil, dasar jelas faktor kejayaan Kerajaan Madani

KUALA LUMPUR, 23 NOV: Kejayaan Kerajaan Madani memimpin negara sepanjang dua tahun ini adalah hasil kestabilan politik, dasar yang jelas serta komitmen perkhidmatan awam, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata rakyat negara ini telah menunjukkan kesediaan untuk bersama-sama dengan kerajaan dalam melonjakkan Malaysia ke persada dunia.

“Satu kenyataan yang harus diingat (kejayaan) dimungkinkan kerana sistem politik yang stabil. Kestabilan itu berkat kerjasama pimpinan negara.

“… banyak anjakan dilakukan dan keberkesanan pelaksanaan dasar ini adalah kerana komitmen dan iltizam barisan penjawat awam yang menunjukkan kesediaan mereka lakukan reform dan perubahan. Pelaksanaan (program) jauh lebih cekap sekarang,” katanya.

Anwar berkata demikian semasa sesi Townhall Program Dua Tahun Kerajaan Madani (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam Tahun 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Turut hadir kedua-dua Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, jemaah menteri serta Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Anwar turut memuji komitmen sektor swasta yang memainkan peranan penting dalam membantu memajukan negara ini.

“Swasta memainkan peranan dalam negara yang sangat kritikal dalam menjayakan (agenda negara).

“Kemahiran dan kepakaran adalah bidang mereka, kita (kerajaan) hanya menjadi penjana dan pemangkin untuk mempercepat proses,” katanya.

Selain itu, Perdana Menteri turut melahirkan penghargaan kepada badan penguat kuasa negara seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), yang telah melaksanakan tugas mereka dengan baik dalam memastikan negara sentiasa aman dan selamat.

-BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.