ad
BUDAYA

Dewasa 3: Cita-cita

23 Nov 2024, 12:30 AM
Dewasa 3: Cita-cita

dari jendela:

tak seperti pengakuan

yang setiap hari hampir kulafazkan–

kulihat awan bergumpal

dan hujan yang jadi

segala terlihat lebih kelabu

di sini, sesiapa saja berhak

memelankolikkan pergi. ya, aku

masih cuba mendewasa

tetapi setiap pulang mengapa

menghimpunkan solat dan

mengurangkan rakaat di ruang

tetamu rumah mak rasa

seperti sebuah pengkhianatan?

aku kenal bagaimana siang

melumutkan bayang

sebagai setiap kekecewaan

di sudut kamar ini

tetapi bila mata kupejam

dan rasa kuredam dalam

siapakah yang dapat menjelaskan

mengapa jeriji terasa memeluk

seakan sebuah rahmat?

dari sebuah keterasingan:

akulah ikarus melaju menuju takdirnya

langit mungkin sebuah anugerah

tetapi semakin hari semakin kuyakini

kalau sayap ini ialah sumpahan.

Meor Izzat Mohamad

 

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.