ad
AGENDA

Skim insurans diterus hingga Ogos 2025, diganti program khairat kematian

22 Nov 2024, 11:11 AM
Skim insurans diterus hingga Ogos 2025, diganti program khairat kematian

SHAH ALAM, 22 NOV: Skim Insurans Am Selangor (INSAN) yang merupakan antara inisiatif menjaga kebajikan rakyat diteruskan sehingga Ogos tahun depan.

Berikutan itu Dato’ Menteri Besar berkata penambahbaikan dan kemas kini dilakukan demi memastikan manfaatnya kepada penduduk negeri ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program Khairat Darul Ehsan yang bakal memanfaatkan 20,000 penerima akan menggantikan skim tersebut mulai Jun tahun depan.

“Berdasarkan pengalaman lepas, kita mendapati bahawa kaedah insurans ini tidak lestari dan tidak berbaloi.

“Kita laksanakan peringkat awal sebab mahu beri nilai (tuntutan) lebih. Sekarang kita beri RM1,000 (khairat) berbanding lebih RM10,000 (INSAN).

“Lebih baik gunakan RM20 juta untuk keperluan mengurus ketika meninggal dunia. Lepas Ogos 2025, kita laksanakan dengan program menyeluruh dan beri manfaaf kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Rang Undang-undang Perbekalan 2025 di sidang Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Pagi tadi, EXCO Pelaburan Ng Sze Han memaklumkan tiada kerugian berjumlah RM21 juta dilaporkan Jabatan Audit sepanjang pelaksanaan INSAN.

Sebaliknya beliau berkata skim mencapai 100 peratus sasaran enam juta pemegang polisi untuk kategori konvensional selain penerima layak berpuas hati dalam aspek proses tuntutan.

“Sehingga 31 Oktober jumlah tuntutan INSAN Konvensional berjumlah RM1.183 juta kepada 108 penerima manakala INSAN Takaful melibatkan RM66,000 disalurkan kepada enam penerima.

“Walaupun tuntutan insuran INSAN ini rendah, saya percaya kita semua faham apabila kita membeli insuran, ia adalah perlindungan dan untuk persediaan jika berlaku kemalangan atau keadaan yang tidak diingini,” katanya.

Ketika sesi pendengaran awam bulan lalu, Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) diberitahu tiada pelanggaran data dalam melaksanakan skim INSAN.

Mantan Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Norita Sidek berkata data pemegang polisi dimiliki Kerajaan Negeri dan tidak tertakluk bawah Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) 2010.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.