SHAH ALAM, 22 NOV: Usaha dilaksanakan pentadbiran dijelaskan dalam pelbagai program termasuk mengemukakan fakta berhubung nilai hasil diperoleh ketika membentang belanjawan.
Menurut Dato’ Menteri Besar, antara inisiatif adalah pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh anak syarikat, badan berkanun dan agensi kerajaan yang setakat ini sudah mencapai RM30 juta.
“Dijangka bulan 12 nanti akan lengkapkan RM40 juta. Ini belum pernah dibuat ketika Hulu Kelang menjadi menteri besar. Koridor Utiliti Selangor (Kusel) kali pertama sumbang RM1 juta setelah kita benarkan perkara di bawah dikelaskan dan dilesenkan.
“Kita juga laksana Dasar Pelepasan Sifar (ZDP) dan anggar dapat hasil sampai RM121 juta keseluruhah. Tahun ini kita dapat dapat RM18 juta dan akan dapat lagi. Dari operasi kilang sebanyak 20,000 ke 30,000 syarikat akan bayar dengan nilai RM143,000.
“Kutipan pertama pada November akan cecah RM1 juta. Adakah kita tak buat apa-apa? Masa Hulu Kelang jadi menteri besar, apa dia buat dalam bentuk polisi dan tindakan? Hanya kata-kata indah, berbunga,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.
Beliau berkata demikian menempelak ketua pembangkang, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang menuduh kepimpinannya tidak melaksana sebarang inisiatif bagi menambah hasil negeri ketika sesi penggulungan di Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.
Untuk rekod, Selangor mencatat kutipan hasil RM2.4 bilion setakat ini, mengatasi sasaran awal tahun ini sebanyak RM2.2 bilion berikutan perkembangan positif ekonomi dan kemasukan pelaburan yang agresif.
Berikutan prestasi baik itu, pentadbiran negeri menyasarkan kutipan hasil sebanyak RM2.35 bilion pada tahun depan.