SHAH ALAM, 22 NOV: Selangor sedia menerima pandangan semua pihak, termasuk mengkaji syarat kelayakan bagi memastikan pelaksanan Skim Air Darul Ehsan (SADE) terus diperkasa.
Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata antara cadangan yang sedang dipertimbang adalah menaikkan had pendapatan isi rumah berbanding syarat RM5,000 ketika ini.
"Kita sudah masuk tahun ketiga melaksanakan SADE (skim air percuma), tetapi saya sedia terima pandangan. Mungkin kita boleh naikkan lantai penerima.
"Sekarang (syarat penerima) adalah RM5,000 nanti kita tengoklah balik untuk memenuhi lagi. Mungkin naikkan RM7,000 ke RM8,000. Itu berdasarkan pengumuman yang akan kita umumkan," katanya.
Beliau menjawab soalan wakil rakyat Sijangkang Dr Ahmad Yunus Hairi berhubung prestasi dan pencapaian program bawah Iltizam Selangor Penyayang (ISP) di Dewan Negeri Selangor, hari ini.
[caption id="attachment_625330" align="alignleft" width="728"] Air Selangor membuat hebahan menyeru penduduk negeri ini memohon Skim Air Darul Ehsan bagi mendapatkan air percuma. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI[/caption]
Dalam pada itu, Amirudin mendedahkan sebanyak 319,000 isi rumah di Selangor menikmati SADE setiap bulan, dengan 20,000 permohonan terpaksa ditolak kerana tidak menepati syarat.
Jelasnya, Kerajaan Negeri membuka pendaftaran bagi memastikan inisiatif air percuma tersebut hanya diberikan kepada isi rumah yang benar-benar berkelayakan.
"Kita mahu pastikan hanya mereka yang memerlukan dapat air percuma dan bukan secara andaian," katanya yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Tua.
Sebelum ini, Kerajaan Negeri menganggarkan 600,000 akaun mendaftar untuk menikmati inisiatif skim air percuma 20 meter padu sebulan.
Bermula 1 Oktober 2022, Selangor mengubah syarat kelayakan dengan menaikkan had maksimum pendapatan isi rumah daripada RM4,000 kepada RM5,000 ke bawah.