SHAH ALAM, 22 NOV: Lebih 500 peniaga menerima manfaat menerusi Program Latihan Pembangunan Usahawan Plats (U-PLATS) Digital, sejak 2023 hingga kini.
Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI berkata U-PLATS Digital adalah fasa pertama program latihan perniagaan bawah Platform Selangor (PLATS), selain U-PLATS Halal (fasa kedua) dan U-PLATS Expand (fasa ketiga).
Mengulas lanjut, Ahmad Azri Zainal Nor berkata di bawah U-PLATS Digital, peniaga mengikuti tiga modul melibatkan transaksi perniagaan, kewujudan digital perniagaan serta kandungan dan promosi perniagaan.
“Selepas melalui tiga modul dalam fasa U-PLATS Digital, peserta yang layak dan memenuhi kriteria akan ke fasa seterusnya iaitu U-PLATS Halal yang memberi pendedahan mengenai kaedah halal dan penilaian kesediaan perniagaan ke arah halal.
“Selain itu, mereka turut didedahkan untuk membangun fail sistem kawalan halal dalaman dan persediaan audit prapenilaian halal.
“Selepas itu mereka yang dinilai dan layak, akan ke peringkat seterusnya iaitu U-PLATS Expand bagi pengembangan dan eksport perniagaan dengan sasaran 10 peserta tahun depan,” katanya kepada Selangorkini.
U-PLATS adalah program latihan perniagaan di bawah PLATS merangkumi tiga fasa utama iaitu U-PLATS Digital, U-PLATS Halal dan U-PLATS Expand.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dalam pembentangan Belanjawan 2025 berkata menerusi U-PLATS Expand kerjasama bersama Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) akan dilaksana.
Peniaga yang telah dilatih di fasa satu (U-PLATS Digital) dan dua (U-PLATS Halal) yang memenuhi syarat kelayakan akan dibimbing untuk mengembangkan perniagaan mereka ke seluruh Malaysia dan seterusnya ke peringkat antarabangsa.
Menurut Amirudin Selangor merupakan satu-satunya negeri yang telah menyediakan sebuah platform promosi dan direktori digital secara percuma untuk semua usahawan di Selangor dan bagi tujuan itu, sebanyak RM5 juta diperuntuk bagi tahun depan untuk memperkasa perusahaan mikro kecil sederhana di Selangor.