SHAH ALAM, 21 NOV: Selangor mahu guna kelebihan sebagai tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 untuk muncul juara secara keseluruhan buat kali ke-10 pada temasya sukan dwi-tahunan itu.
EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi berkata buat masa ini tumpuan diberi dengan mempersiapkan atlet dan pasukan lebih awal mengikut perancangan dilaksana Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor.
“Ia untuk memastikan para atlet dan pasukan benar-benar bersedia untuk membawa cabaran kontinjen Selangor pada SUKMA 2026 nanti.
“Pelbagai keperluan diambil kira seperti elaun latihan, tempat latihan, menyediakan jurulatih berprestasi tinggi, peralatan latihan, perlindungan insurans, kemudahan sains sukan dan pendedahan kejohanan dalam serta luar negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 di Sidang Dewan Negeri, hari ini.
Pada masa sama, Najwan memberitahu Kerajaan Negeri memperuntuk sejumlah RM6 juta kepada MSN Selangor untuk melaksanakan program pembangunan dan persiapan kontinjen menghadapi SUKMA ke-22.
“Jumlah tersebut dilihat tidak mencukupi memandangkan pihak MSN Selangor perlu menguruskan jumlah kontinjen yang besar dan sebagai tuan rumah kita perlu menyertai kesemua acara yang dipertandingkan.
“Oleh itu, Kerajaan Negeri akan bekerjasama rapat anak-anak syarikat negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menjadi bapa sukan angkat termasuk menaja keperluan atlet serta memenuhi keperluan bajet mencukupi,” jelasnya.