PETALING JAYA, 21 NOV: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bercadang untuk menambah beberapa lagi pusat kitar semula bagi meningkatkan kesedaran amalan kitar semula dalam kalangan penduduk.
Bagaimanapun, Datuk Bandarnya Muhamad Zahri Samingon berkata pihaknya sedang mengenal pasti kawasan strategik dan bersesuaian termasuk mengambil kira maklum balas penduduk.
"Kita memang ada cadangan untuk tambah pusat kitar semula kerana pengumpulan sampah semakin hari semakin banyak cuma buat masa ini sedang kenal pasti tempat.
"Ada beberapa tempat kita cadang untuk pasang loji pembakaran sampah (incinerator) tetapi ada bantahan daripada penduduk. Kita akan kaji memandangkan kawasan Petaling Jaya agak padat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Penyampaian Anugerah Premis Makanan dan Tandas Bersih sempena Hari Tandas Sedunia di Ibu Pejabat MBPJ di sini hari ini.
Setakat ini, MBPJ memiliki 12 pusat kitar semula. Berikut adalah senarai pusat kitar semula seliaan MBPJ:
- PJ Eco Recycling Plaza
- Pusat Kitar Semula Desa Mentari
- Pusat Kitar Semula Taman Jaya
- Pusat Kitar Semula The Spine @ PJ Kita
- IPC Recycling & Buy Back Centre IPC
- Pusat Kitar Semula Tzu Chi Chempaka
- Pusat Kitar Semula Tzu Chi PJ Old Town
- Pusat Kitar Semula Tzu Chi Kayu Ara
- Pusat Kitar Semula Tzu Chi Sri Damansara
- Pusat Kitar Semula Tzu Chi Mayang Jaya
- Pusat Kitar Semula Tzu Chi SS3
- Pusat Kitar Semula Tzu Chi Saujana Damansara